SJKC Chung Hua Undop terima sumbangan pencetak dan peralatan sukan daripada JAKKSA

Facebook
WhatsApp
GERALD menyampaikan sumbangan sebuah pencetak dan peralatan sukan kepada SJKC Chung Hua Undop. Foto JAKKSA

SIMANGGANG, 13 Oktober: Jawatankuasa Amal dan Kesihatan Komuniti Sri Aman (JAKKSA) terus mempergiat usaha kebajikan masyarakat menerusi sumbangan sebuah pencetak dan peralatan sukan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Undop bagi membantu keperluan pentadbiran, pembelajaran serta aktiviti kokurikulum sekolah berkenaan.

Sumbangan itu disampaikan oleh Pengerusi JAKKSA, Gerald Empaling dan diterima oleh Guru Besar SJKC Chung Hua Undop, Bong Set Khium, di sini hari ini.

Bong merakamkan penghargaan atas keprihatinan JAKKSA dan menyifatkan sumbangan berkenaan mampu melancarkan urusan pentadbiran dan pendidikan, selain menggalakkan penglibatan murid dalam aktiviti sukan serta pembangunan fizikal.

Menurutnya, sokongan daripada orang ramai, organisasi kebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) amat dialu-alukan bagi meningkatkan kemudahan pembelajaran serta membuka lebih banyak peluang pendidikan kepada murid.

SJKC Chung Hua Undop kini mempunyai seramai 58 murid, dengan majoritinya terdiri daripada masyarakat Iban. Keadaan itu memperlihatkan peranan penting sekolah berkenaan dalam menyediakan pendidikan kepada kanak-kanak dari komuniti luar bandar di kawasan sekitarnya.

Gerald berkata, walaupun sumbangan yang diberikan tidak besar, pihaknya berharap bantuan tersebut dapat membawa manfaat kepada warga sekolah dan menjadi sebahagian daripada usaha berterusan JAKKSA mendekati komuniti yang memerlukan.

GERALD turut berkesempatan meninjau sesi pembelajaran di dalam kelas. Foto JAKKSA

“Walaupun sumbangan kami hari ini mungkin kelihatan kecil, kami percaya setiap bantuan mampu membawa perubahan bermakna dalam pendidikan seseorang anak. Apa yang penting ialah kesediaan kita untuk menghulurkan bantuan apabila diperlukan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa sumbangan itu bukan sekadar bantuan sekali sahaja, sebaliknya menjadi permulaan kepada hubungan kerjasama yang lebih erat antara JAKKSA dengan pihak sekolah bagi mengenal pasti keperluan serta ruang bantuan yang boleh disalurkan pada masa hadapan.

Menurutnya, sekolah kecil di kawasan luar bandar tidak seharusnya dipinggirkan daripada menerima sokongan pendidikan dan kebajikan kerana setiap murid berhak mendapat peluang untuk belajar, berkembang dan mencapai kejayaan.

Sehubungan itu, beliau menyeru golongan peniaga, pemimpin masyarakat, NGO serta orang perseorangan agar bersama-sama menyumbang mengikut kemampuan masing-masing bagi membantu sekolah di komuniti mereka.

“Tidak semestinya kita memerlukan sumber kewangan yang besar untuk membawa perubahan. Kadangkala sebuah pencetak, beberapa peralatan sukan atau kesediaan meluangkan masa sudah cukup untuk memberi manfaat kepada sekolah.

“Jika semua pihak menyumbang sedikit, kita mampu melakukan lebih banyak perkara bersama-sama,” katanya.

Gerald turut menegaskan komitmen JAKKSA untuk meneruskan dan memperluas inisiatif kebajikan, termasuk membantu sekolah, institusi kesihatan, masyarakat luar bandar serta individu yang memerlukan sokongan di sekitar Sri Aman.

Beliau turut menghargai komitmen Bong dan seluruh pentadbiran sekolah dalam mendidik generasi muda, sambil berharap sumbangan tersebut dapat menyuntik semangat kepada warga sekolah untuk terus meningkatkan mutu pendidikan.

“Anak-anak kita ialah masa depan. Membantu mereka hari ini, walaupun melalui sumbangan kecil, merupakan pelaburan untuk hari esok yang lebih baik,” katanya.

Oleh Adi Safarman