
KUALA LUMPUR: Kehilangan insan tersayang bukan sahaja menjadi titik tolak buat Siti Nur Aisyah Johari untuk bangkit membina semula kehidupan, malah membuka ruang kepada wanita muda ini menempa nama dalam dunia cosplay menerusi penghasilan helmet watak fiksyen menggunakan teknologi pencetakan tiga dimensi (3D).
Bagi Siti Nur Aisyah, 29, yang berasal dari Jitra, Kedah, minat yang bermula sebagai terapi emosi itu kini berkembang menjadi sumber pendapatan sampingan yang lumayan melalui tempahan pelanggan dari dalam dan luar negara.
Selain menghasilkan helmet watak fiksyen seperti Gundam, Predator, Power Rangers, Cybercop dan Kamen Rider, dia juga menerima tempahan reka bentuk unik mengikut kehendak khusus pelanggan dengan setiap produk dijual pada harga RM600 hingga RM900 seunit, iaitu kadar yang disifatkan lebih rendah berbanding harga pasaran yang boleh mencecah ribuan ringgit bagi watak tertentu.
Berkongsi kisah perjalanannya dalam bidang itu, Siti Nur Aisyah berkata dia mula bergiat secara serius pada 2023 selepas ibunya meninggal dunia akibat kanser paru-paru pada 2021.

Dia yang sebelum itu kehilangan ayah pada 2018, juga akibat penyakit sama, dan abang yang meninggal dunia selepas terbabit kemalangan jalan raya semasa dia masih di bangku sekolah rendah, mengalami tekanan emosi yang agak berat.
“Masa itu (selepas ibu meninggal dunia) saya memang tak boleh tidur malam…rasa sunyi sangat sebab rumah kosong. Jadi saya fikir nak cari sesuatu untuk isi masa supaya tak fikir benda lain, dan dari situ saya mula mencuba dengan pencetakan 3D.
“Sebenarnya minat (cosplay) itu memang dah lama, sejak kecil lagi, cuma dulu tak ada kemampuan. Bila dah mula buat, saya belajar sendiri tengok YouTube, cuba sedikit demi sedikit selama enam bulan sampai faham cara rekaan, mencetak dan menghasilkan helmet sendiri,” katanya.
Bermula dengan hanya sebuah mesin 3D kecil berharga RM300, Siti Nur Aisyah kini memiliki kira-kira 12 mesin pencetakan 3D bernilai ribuan ringgit seunit dan beroperasi di sebuah bengkel dengan bantuan tiga pekerja.
Menyentuh proses pembuatan, katanya setiap helmet yang diperbuat daripada plastik tahan lasak jenis Polyethylene terephthalate glycol melalui peringkat reka bentuk digital, proses cetakan yang mengambil masa beberapa hari, diikuti kerja kemasan seperti menggosok, mencuci dan mengecat.

“Bahagian paling susah sebenarnya pada reka bentuk, kerana setiap pelanggan ada kehendak berbeza. Malah ada yang minta benda yang tak wujud, jadi saya kena fikir dan cuba hasilkan juga,” katanya, menambah adakala rekaan sahaja mengambil masa beberapa hari.
Siti Nur Aisyah yang aktif berkongsi proses penghasilan produknya di TikTok menerusi akaun @Sya Cosplay yang kini mempunyai lebih 50,000 pengikut, berkata helmet tersebut dihasilkan hanya untuk tujuan koleksi dan fesyen.
Hasil kerja kerasnya itu bukan sahaja mendapat perhatian peminat tempatan, malah turut menembusi pasaran antarabangsa seperti Australia, Singapura, Vietnam, Brunei dan Indonesia dengan tempahan menghampiri 100 unit sebulan.
“Bagi saya, ini bukan semata-mata tentang duit. Kepuasan sebenar datang apabila saya dapat hidupkan semula minat yang saya pendam sejak kecil lagi,” katanya. – Bernama