KUALA LUMPUR: Penyanyi Siti Nordiana Alias atau lebih dikenali sebagai Nana terpaksa berpantang tidak mengambil minuman berkafein terutamanya kopi sejak setahun yang lalu.
Walaupun agak sukar kerana dia sememangnya penggemar kopi, pelantun lagu Memori Berkasih berusia 40 tahun itu terpaksa berbuat demikian demi kelangsungan kerjayanya dalam industri seni selepas mengalami masalah peti suara.
Menurut Nana, peti suaranya mengalami masalah akibat kesan jangkitan Covid-19 dan selain berpantang minuman mengandungi kafein, dia mengambil inisiatif mengikuti kelas vokal di bawah bimbingan Datuk Syafinaz Selamat bagi meningkatkan mutu nyanyiannya.
“Setiap bulan, saya akan mengikuti kelas vokal untuk ‘top up’ suara. Insya-Allah, dengan bimbingan Cikgu Syafinaz, saya berusaha untuk mengurangkan risiko kerosakan pada peti suara melalui latihan intensif.
“Sebenarnya agak sukar untuk berpantang kerana saya memang penggemar kopi, tetapi saya terpaksa melakukannya kerana kopi menyebabkan saya mengalami masalah berkahak,” tambahnya ketika ditemui pemberita pada sidang media Konsert Tomok dan Siti Nordiana: Memori Mungkin Berulang baru-baru ini.
Berkongsi lebih lanjut, ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, keadaan suara juga menyebabkan dia sering menerima teguran dan kritikan.
Bagaimanapun, pelakon Dia Semanis Honey itu menjadikan semua teguran serta kritikan sebagai didikan dan pengajaran yang membantu dirinya untuk terus memperbaiki dan berkembang dalam kerjaya seni.
“Sebagai anak seni, jiwa kita perlu kental. Saya sendiri pun pernah dikritik teruk. Malah semasa dalam program realiti Gegar Vaganza All Star pun saya teruk dibantai (dikritik). Tapi bagi saya, setiap kritikan itu sebenarnya mengajar kita untuk lebih cepat belajar dan keluar dari zon selesa,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Nana mengakui teruja bakal berkongsi pentas dengan Tomok di konsert Tomok dan Siti Nordiana: Memori Mungkin Berulang yang dijadual diadakan di Zepp Kuala Lumpur pada 1 Februari 2025.
Siti Nordiana menyifatkan konsert itu adalah kesinambungan berduet dengan Tomok selepas kejayaan lagu Memori Mungkin Berulang.
“Dalam konsert ini nanti, selain lagu solo masing-masing, kami juga akan menyanyikan kembali pilihan hits kami, antaranya lagu duet saya bersama-sama Allahyarham Achik yang pastinya akan mengimbau kenangan peminat,” katanya. – Bernama