KUALA LUMPUR: Syarikat pembangunan hartanah dan pengurusan aset, UDA Holdings Bhd sedang berunding dengan beberapa bank perdagangan di negara ini untuk melaksanakan sistem pembayaran bagi pembiayaan perumahan yang efektif.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Salem Kailany berkata setakat ini sebuah bank telah bersetuju untuk bekerjasama dalam mewujudkan sistem berkenaan.
“Tarikh pelancaran sistem berkenaan akan diumumkan kelak,” katanya kepada Bernama.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.
Mohd Salem sebelum itu menyampaikan sumbangan 400 pek makanan kepada petugas-petugas di ibu pejabat Bernama di sini sebagai tanda penghargaan kepada petugas media atas sokongan berterusan kepada UDA Holdings.
Selain itu, merujuk projek terkini, Mohd Salem berkata UDA Holdings sedang menyemak semula lima projek baharu perumahan mampu milik yang dijadual dilancarkan pada tahun ini.
“Kita akan melihat sama ada untuk melancarkan kesemua lima projek tersebut (secara serentak) atau sebahagiannya sahaja. Perkara ini akan diumumkan pada separuh kedua tahun ini,” katanya.
Laporan baru-baru ini menyatakan bahawa UDA Holdings akan melancarkan sekurang-kurangnya lima projek kediaman yang menyasarkan golongan muda pada tahun ini.
Ini termasuk rancangan menyediakan 1,000 unit kediaman di Kuantan, Kuala Terengganu, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, seiring dengan tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas dan kini PKP Bersyarat (PKPB), UDA Holdings turut mengambil langkah proaktif menerusi bantuan sewa bagi meringankan bebanan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas.
Bantuan ini meliputi diskaun dan pengecualian bayaran sewa untuk kalangan penyewa lot perniagaan di kompleks beli-belah di bawah seliaan UDA seperti Angsana Johor Bahru Mall, Angsana Ipoh Mall dan Angsana Seremban.
“Pengecualian sewa selama sebulan iaitu April 2020 dan diskaun sewa 20 peratus bagi Mei hingga September 2020,” katanya.
Mohd Salem berkata bantuan dengan anggaran kos RM10 juta itu memberi manfaat kepada 1,500 peniaga.
UDA turut menyalurkan sumbangan bernilai RM200,00 dalam bentuk peralatan, kewangan dan makanan kepada beberapa hospital seperti Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Pulau Pinang, Hospital Rembau dan Hospital Permai Johor Bahru. – Bernam