KUALA LUMPUR: Singapura muncul sebagai negara pengimport ketiga terbesar produk minyak sawit Malaysia dengan peningkatan sebanyak 5.8 peratus daripada 650,411 tan kepada 688,457 tan di rantau ASEAN pada 2019.
Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, MPOB positif eksport sawit Malaysia ke negara jiran itu akan terus meningkat terutamanya selepas pintu ekonomi kembali aktif seperti sebelum serangan pandemik Covid-19.
“Tiga eksport utama produk sawit Malaysia ke Singapura adalah minyak sawit sebanyak 361,898 tan, oleokimia 150,625 tan, produk sawit siap 136,488 tan dan selebihnya lain-lain produk sawit,” katanya dalam kenyataan semalam.
Ahmad Jazlan menerima kunjungan hormat Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Loy Hui Chien di pejabatnya hari ini.
Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir turut menyertai pertemuan itu yang antara lain membincangkan mengenai kelangsungan sawit Malaysia yang dieksport ke Singapura serta bagaimana meningkatkan eksport pada masa akan datang.
“Bagi tempoh Januari sehingga Jun 2020, nilai eksport turut meningkat kepada 357,542 tan berbanding 327,942 tan pada 2019 dengan peningkatan sebanyak sembilan peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas yang bernilai RM1.18 bilion,” katanya.
Ahmad Jazlan berkata pertemuan itu turut membantu kementerian mencapai sasaran industri sawit untuk menyumbang sebanyak RM70 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Negara (KDNK) berbanding RM64.84 bilion pada tahun lepas. – Bernama