SINGAPURA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) akan menghentikan kenaikan fi berjadual bermula 1 April 2020 hingga 31 Mac 2021 bertujuan mengurangkan impak signifikan pandemik Covid-19 terhadap industri penerbangan.
Dalam kenyataan semalam, CAAS berkata pembekuan itu akan terpakai kepada tiga kategori fi termasuk pemeriksaan, ujian atau penilaian semasa proses perakuan atau kelulusan reka bentuk, pengeluaran atau pengedaran komponen pesawat atau material pesawat.
Kategori lain adalah fi ke atas pemeriksaan keselamatan semasa proses perakuan atau kelulusan bagi penyelenggaraan pesawat atau komponen pesawat; dan fi pembaharuan kelulusan atau perakuan untuk pemeriksaan, membaik pulih, membaiki, mengganti dan mengubahsuai pesawat atau komponen pesawat.
Kelulusan atau perakuan itu perlu dikeluarkan sebelum 31 Oktober, 2017.
CAAS berkata syarikat-syarikat yang telah membayar fi dengan kadar peningkatan akan menerima lebihan pembayaran menerusi mod pembayaran original.
Menurut pihak berkuasa terbabit, kira-kira 170 syarikat penerbangan akan dapat menjimatkan S$200,000 secara keseluruhan.
CAAS berkata pembekuan fi itu merupakan antara langkah awal yang diumumkan sektor penerbangan untuk melengkapi pakej sokongan penerbangan yang dipertingkatkan oleh kerajaan.
Pakej itu merangkumi rebat 50 peratus ke atas fi pengawalseliaan bagi Perakuan Kelayakan Terbang yang baharu dan diperbaharui yang dijangka menjimatkan syarikat penerbangan Singapura kira-kira S$6 juta.
Di bawah pakej itu, syarikat penerbangan Singapura dan pengendali lapangan terbang boleh menangguhkan sebahagian fi sehingga satu tahun dengan jumlah keseluruhan kira-kira S$140 juta.
Levi Pembangunan Lapangan Terbang (ADL) yang dibayar oleh penumpang yang berlepas atau menyambung penerbangan menerusi Lapangan Terbang Changi turut dikecualikan kepada penumpang yang tiketnya dikeluarkan di antara 13 April 2020 dan 31 Mac 2021, termasuk kedua-dua tarikh itu untuk perjalanan dalam tempoh yang sama.
ADL itu diperkenalkan pada 1 Julai 2018 untuk membantu membiayai pembangunan lapangan terbang termasuk Terminal 5 baharu dan prasarana berkaitan di Changi East.
Penumpang yang memulakan perjalanan dari Lapangan Terbang Changi perlu membayar pada kadar S$10.80, manakala mereka yang memulakan perjalanan dari mana-mana destinasi dan menyambung penerbangan menerusi Lapangan Terbang Changi dikenakan S$3.00.- Bernama