SINGAPURA: Singapura semalam melaporkan 169 kes baharu jangkitan Covid-19 dengan 11 kes dalam komuniti, menjadikan jumlahnya di republik itu sebanyak 44,479 kes.
Menurut data ringkas tengah hari yang disiarkan Kementerian Kesihatan (MOH), kes komuniti melibatkan tiga rakyat Singapura atau penduduk tetap dan lapan lagi pemegang pas pekerja.
Sebagai tambahan, terdapat tiga kes import yang ditempatkan di bawah Notis Duduk-Rumah setibanya di Singapura manakala kes baharu selebihnya membabitkan pekerja asing yang tinggal di asrama, menurut kementerian itu.
Menurut data lengkap yang disiarkan lewat semalam, Singapura mengklasifikasikan 1,900 daripada kes dikaitkan dengan komuniti, 587 sebagai kes import dan 41,823 melibatkan pekerja asing di asrama.
Setakat tengah hari semalam, 39,429 atau kira-kira 89 peratus daripada jumlah 44,310 pesakit didapati telah sembuh dan dibenar pulang dari hospital atau kemudahan penjagaan komuniti.
Terdapat 201 kes disahkan masih berada di hospital semalam, dengan satu dirawat di unit rawatan rapi, menurut kementerian berkenaan.
Kenyataan itu menambah bahawa, 4,654 pesakit yang mempunyai gejala sederhana atau secara klinikal sihat tetapi masih diuji positif Covid-19 telah diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.
Setakat ini, 26 orang telah meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19, dengan dua kematian pertama dilaporkan pada 21 Mac.
Dua kluster baharu dikenal pasti semalam, membabitkan asrama di 7 Gambas Crescent dan 17 Tuas View Close.- Bernama
Pic cap Singapura semalam melaporkan 169 kes baharu jangkitan Covid-19 dengan 11 kes dalam komuniti. – AFP