KUALA LUMPUR: Sektor swasta dari Malaysia dan Singapura amat berminat untuk mengetahui bagaimana mereka dapat terlibat dalam pelan baharu untuk projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, menurut Majlis Perniagaan Malaysia-Singapura (MSBC).
Majlis itu telah meminta kedua-dua kerajaan memberikan cadangan perubahan kepada pelan untuk projek HSR apabila Malaysia bersedia untuk berkongsinya, katanya dalam kenyataan semalam.
Pada 31 Mei 2020, kedua-dua kerajaan bersetuju untuk menangguhkan pembinaan projek dua hala itu yang bernilai RM110 bilion sekali lagi hingga 31 Disember 2020.
MSBC berkata dengan pertumbuhan pendigitalan dan ekonomi digital yang pesat, ia akan mewujudkan kumpulan fokus yang khusus untuk bertukar-tukar amalan terbaik dan kerjasama dalam pelbagai bidang.
“Ia termasuk jaringan digital, fintech, e-dagang, pendigitalan perkhidmatan pembuatan dan mengguna pakai penyelesaian Industri 4.0 seperti Internet of Things (IoT) dan robotik,” katanya.
Pengerusi Bersama Malaysia Datuk Seri Dr Nik Norzrul Thani berkata hubungan perniagaan Singapura-Malaysia penting kepada rantau ini, dan MSBC komited untuk terus meningkatkan kerjasama dalam bidang yang mempunyai kepentingan bersama.
Sementara itu, Pengerusi Bersama Singapura Dr Robert Yap berkata walaupun terdapat ketidaktentuan dan cabaran berikutan COVID-19, suatu yang baik untuk melihat perniagaan dari kedua-dua negara meneroka kerjasama dalam bidang kerjasama sedia ada dan baharu seperti ekonomi digital dan syarikat permulaan serta pembuatan dan Industri 4.0.
“Krisis ini menawarkan peluang yang amat baik kepada perusahaan untuk memikirkan cara bagi mentransformasikan model perniagaan mereka dan membangunkan strategi baharu untuk menempatkan mereka dalam persekitaran normal baharu pasca Covid-19,” katanya.
MSBC berkata ahlinya telah menyatakan keyakinan bahawa kedua-dua negara akan kembali kepada tahap sebelum COVID-19 berikutan kelonggaran langkah-langkah sekatan pergerakan di kedua-dua negara dan ketersediaan vaksin.- Bernama