SHAH ALAM: Kawalan keselamatan yang semakin diperketat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai mendorong sindiket dadah antarabangsa mencari laluan alternatif, termasuk menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang untuk menyeludup dadah ke pasaran Eropah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata perkara itu antara yang dikenal pasti menerusi Ops Lejogaster yang berjaya menggagalkan cubaan menyeludup sekitar 270 kilogram (kg) bunga ganja bernilai RM21.62 juta ke pasaran antarabangsa.
Beliau berkata operasi yang dilancarkan dari 12 Julai hingga 3 Ogos lepas hasil risikan dan pemantauan berterusan JSJN Bukit Aman itu turut menyaksikan penahanan sembilan suspek, termasuk lapan lelaki warga asing dan seorang lelaki tempatan, berumur antara 22 hingga 51 tahun.
“Apabila KLIA menjadi ‘panas’, mereka mungkin menggunakan lapangan terbang lain. Sindiket ini sentiasa mencari ruang dan akan menggunakan semua ruang yang ada, sama ada melalui jalan darat, laut mahupun udara,” katanya pada sidang media tentang kejayaan JSJN menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa di sini, hari ini.
Hussein berkata operasi itu melibatkan tiga serbuan berasingan di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor, selain berjaya menyelamatkan empat warga asing yang dipercayai bakal dieksploitasi sebagai keldai dadah oleh sindiket berkenaan.
Beliau berkata serbuan pertama pada 12 Julai di hadapan lobi sebuah hotel di Bayan Lepas membawa kepada penahanan dua lelaki dan rampasan dua bagasi mengandungi 60 bungkusan disyaki bunga ganja seberat sekitar 31.7 kg daripada sebuah kereta Mazda CX-5.
“Susulan tangkapan itu, pemeriksaan terhadap sebuah rumah di sekitar Bayan Lepas menemukan 60 bungkusan lagi berisi bunga ganja seberat sekitar 31 kg,” katanya.
Hussein berkata hasil risikan lanjut membawa kepada serbuan kedua pada 3 Ogos di sebuah rumah di Taman Bukit Citra, Mantin, Negeri Sembilan yang membawa kepada penahanan seorang lelaki dan rampasan 10 bagasi mengandungi 170 bungkusan disyaki bunga ganja seberat 175.8 kg.
Susulan serbuan itu, lima lagi lelaki warga asing ditahan di sekitar Sepang, Selangor, termasuk empat yang dipercayai bakal dijadikan keldai dadah oleh sindiket berkenaan.
Pada hari sama, serbuan ketiga dijalankan di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas yang membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki warga asing bersama dua bagasi mengandungi 60 bungkusan disyaki bunga ganja seberat sekitar 31.6 kg.
“Daripada tiga serbuan ini, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ialah sekitar 270 kg bunga ganja dan sedikit methamphetamine untuk kegunaan sendiri, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM21.62 juta. Keseluruhan bunga ganja yang dirampas itu dianggarkan boleh merosakkan sebanyak 630,000 orang,” katanya.
Hussein berkata siasatan mendapati sindiket itu dipercayai aktif sejak April lepas dan mendapat bekalan bunga ganja dari negara jiran sebelum membawanya masuk ke Malaysia melalui sempadan negeri-negeri di utara Semenanjung.
Dadah berkenaan, katanya, kemudian disimpan sementara di beberapa rumah teres berhampiran lapangan terbang di Bayan Lepas dan Nilai, Negeri Sembilan sebelum diserahkan kepada keldai dadah untuk dibawa keluar melalui lapangan terbang antarabangsa.
Hussein berkata sindiket berkenaan didalangi seorang lelaki warga Portugal yang menyelaraskan kegiatan dari Eropah, termasuk membawa masuk individu ke Malaysia untuk dijadikan keldai dadah bagi membawa keluar bunga ganja ke pasaran Eropah.
Beliau berkata daripada lapan warga asing yang ditahan, lima disyaki warga Portugal berdasarkan pasport yang dimiliki, manakala seorang warga Myanmar dan dua warga Singapura.
“Laluan mereka kebanyakannya melalui Bayan Lepas dan KLIA, ada yang secara terus dan ada yang transit di Singapura. Kebanyakan laluan adalah ke London, dan dari London ada sindiket lain yang menyambut mereka,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan. – Bernama





