Siling rumah teres di Taman Hui Sing terbakar, tiada mangsa dilaporkan

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menjalankan operasi pemadaman sebuah rumah teres di Taman Hui Sing, Kuching selepas insiden kebakaran siling awal pagi tadi. Foto JBPM 

KUCHING: Sebahagian siling rumah teres setingkat di Lorong 6/5, Taman Hui Sing di sini terbakar dalam kejadian awal pagi tadi. 

Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, panggilan kecemasan diterima pada 5.14 pagi. 

“Sebaik tiba, didapati kebakaran melibatkan bahagian siling rumah teres setingkat dengan anggaran kira-kira 12 peratus daripada keseluruhan struktur terjejas,” kata Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Dennis Nuon dalam kenyataan hari ini.

Api berjaya dikawal pada 5.46 pagi sebelum pasukan bomba melakukan kerja-kerja pembersihan secara menyeluruh bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

“Setelah keadaan disahkan selamat dan terkawal, operasi ditamatkan sepenuhnya pada 6.05 pagi,” katanya.

Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden berkenaan.