MONTE CARLO: Pelari jarak jauh Belanda, Sifan Hassan dan bintang pecut Botswana, Letsile Tebogo dinobatkan sebagai Atlet Terbaik Dunia Tahun Ini pada Anugerah Olahraga Dunia 2024 di Monaco pada Ahad, lapor Xinhua.
Dengan Sukan Olimpik menjadi kemuncak tahun sukan, prestasi Hassan dan Tebogo di Paris memainkan peranan penting dalam pengiktirafan mereka.
Sifan Hassan mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama memenangi pingat dalam acara 5,000 meter (m), 10,000m dan maraton pada Olimpik yang sama.
Atlet berusia 31 tahun itu meraih emas dalam acara maraton dengan catatan masa rekod Olimpik 2:22:55, hanya 37 jam selepas meraih gangsa dalam acara 10,000m, dan enam hari selepas memenangi gangsa dalam 5,000m.
Tebogo pula mencipta sejarah sebagai juara Olimpik pertama Botswana selepas memenangi emas dalam acara 200m lelaki dengan rekod Afrika 19.46 saat.
Atlet berusia 21 tahun itu turut memainkan peranan penting dalam membantu Botswana meraih perak dalam acara lari berganti-ganti 4x400m lelaki di Paris.
“Ini bukan hanya pencapaian saya, tetapi kemenangan untuk seluruh Afrika. Mendengar nama saya dipanggil adalah satu kejutan, dan saya amat berterima kasih kepada semua yang menyokong saya,” kata Tebogo.
Selain gelaran Atlet Terbaik Dunia Tahun Ini, Tebogo juga membawa pulang Anugerah Atlet Trek Lelaki Tahun Ini, manakala bintang Amerika Syarikat, Sydney McLaughlin-Levrone dinobatkan sebagai Atlet Trek Wanita Tahun Ini.
Ikon lompat bergalah Sweden, Armand Duplantis dan atlet lompat tinggi Ukraine, Yaroslava Mahuchikh masing-masing menerima Anugerah Atlet Terbaik Padang Lelaki dan Wanita Tahun Ini.
Dalam kategori luar stadium, Tamirat Tola dan Sifan Hassan dari Ethiopia masing-masing memenangi anugerah Lelaki dan Wanita Tahun Ini.
Anugerah “Rising Star” pula dimenangi oleh Sembo Almayew dari Ethiopia dan Mattia Furlani dari Itali.
–BERNAMA-XINHUA