AKUN GIMAN
SIBU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu menubuhkan talian hotline aduan Covid-19 Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Bahagian Sibu semalam.
Menteri Muda Kesihatan Awam, Dr Annuar Rapa’ee berkata, ia bertujuan supaya orang ramai untuk turut sama menjadi mata kepada pihak berkuasa dalam memantau Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPB dipatuhi.
“Orang ramai juga memainkan peranan dalam penguatkuasaan, mereka menjadi mata kepada pihak berkuasa untuk melaporkan pihak yang tidak mematuhi SOP PKPB.
“Polis akan melakukan pemeriksaan ke atas premis yang didapati tidak mematuhi SOP PKPB seperti tiada penjarakan sosial, tempat sesak dengan orang ramai tidak memakai penutup hidung dan mulut,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Pelaksanaan Pematuhan PKPB Covid-19 Bahagian Sibu dan Pengagihan Kuih Sumbangan Raya Gawai 2020 Kepada Petugas Barisan Hadapan di bilik mesyuarat Pejabat Residen Bahagian Sibu, hari ini.
Katanya, orang ramai boleh menghubungi talian hotline aduan Covid-19 PKPB Bahagian Sibu di talian WhatsApp 013-9994158.
“Mereka perlu melaporkan situasi beserta gambar dan nama lokasi bagi tujuan tindakan selanjutnya pihak polis dan penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT),” ujarnya yang juga Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi.
Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi itu memberitahu, situasi kesesakan di pusat membeli belah, pasar raya dan pasar sentral kini dalam keadaan terkawal berbanding minggu lepas.
“Tiada laporan atau tangkapan premis perniagaan yang beroperasi waktu malam melebihi waktu di Sibu. Pihak polis menjalankan pemeriksaan setiap malam bagi tujuan tersebut,” ujarnya.