
SIBU: Seorang pemuda yang menghalang anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menjalankan tugas serta melakukan khianat dengan merosakkan kenderaan AADK dijatuhi hukuman denda berjumlah RM10,000 atau penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Terdahulu, Majistret Oon Kork Chern mengenakan hukuman denda RM3,000 atau penjara tiga bulan terhadap tertuduh, Wong Yew Chai, 27, bagi pertuduhan menghalang anggota AADK menjalankan tugas.
Tertuduh dikenakan hukuman denda RM7,000 atau penjara tujuh bulan bagi pertuduhan khianat dengan merosakkan kenderaan jenis pacuan empat roda (4WD) AADK hingga menyebabkan kerugian sebanyak RM3,299.
Bagi pertuduhan tersebut, Wong didakwa mengikut Seksyen 186 serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan. Tertuduh yang membayar dendanya, didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu pada 11 Mac 2025, sekitar 2.55 petang di Jalan Hii Kah Tung.
Mengikut fakta kes, pengadu bersama tiga anggota AADK lain sedang menjalankan Ops Cegah dan cuba menahan tertuduh, yang memandu sebuah kereta kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Apabila tertuduh menurunkan cermin kereta, pengadu mendapati terdapat peralatan digunakan bagi tujuan penagihan dadah di dalam kereta dan meminta tertuduh membuka pintu kereta.
Bagaimanapun, tertuduh enggan memberi kerjasama dan bertindak mengundurkan keretanya, yang kemudian merempuh kenderaan AADK serta sebuah kereta lain.
Satu laporan polis telah dibuat dan pada 12 Mac 2025, sekitar 10.50 pagi, pihak polis telah menahan tertuduh di Jalan Fong Ming untuk membantu siasatan serta merampas sebuah kereta jenis Proton Saga serta kunci kereta.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP, Siti Mariyah Dahari sementara tertuduh tidak diwakili.
Oleh Akun Giman