SIBU: Rumah Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Bahagian Sibu yang terletak di Jalan Sanyan akan dijadikan sebagai Tempat Transit Untuk Gelandanggan (TTUG) Sibu yang pertama di negeri ini.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, Kerajaan Sarawak telah bersetuju untuk menyalurkan peruntukan RM546,000 bagi tujuan tersebut (menaik taraf rumah MAKSAK untuk dijadikan sebagai TTUG Sibu).
Menurutnya, TTUG Sibu mampu menempatkan 40 orang gelandangan pada satu-satu masa, dimana kapasiti tersebut adalah berdasarkan jumlah purata 30 gelandangan yang dikenalpasti di Sibu bagi tempoh tiga tahun yang lepas.
“Konsep TTUG Sibu adalah sebagai tempat persinggahan sementara untuk gelandangan membersihkan diri, makan dan tidur pada malam hari.
“Pada hari siang berikutnya, mereka akan keluar untuk urusan masing-masing,” jelasnya pada sidang media di Pejabat Residen Bahagian Sibu di sini, petang semalam.
Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat berharap, kerja-kerja pengubah suaian akan dilakukan secepat mungkin dan TTUG Sibu dapat beroperasi dalam waktu terdekat.
Mengulas lanjut Fatimah berkata, TTUG akan berfungsi untuk menyediakan kemudahan transit untuk gelandangan menumpang tidur serta makan percuma pada waktu malam.
Selain itu, TTUG juga akan menyediakan khidmat saringan kesihatan fizikal, mental, dan ujian pengesanan penyalahgunaan substance; dan menyediakan bantuan rujukan kepada agensi yang berkaitan,” ujarnya.
Beliau memberitahu, operasi TTUG Sibu akan diurus oleh Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang dilantik oleh Kementerian dan Jawatankuasa Penyelarasan Pemantauan Sosial Bahagian (JPPSB) Sibu.
“Persatuan Amal Shan Xin Malaysia Cawangan Sibu telah dikenalpasti oleh JPPSB Sibu sebagai anchor bagi mengurus operasi TTUG Sibu.
“Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk memperuntukan geran sebanyak RM244,800 setiap tahun kepada Persatuan Amal Shan Xin Malaysia Cawangan Sibu untuk menampung kos operasi di TTUG Sibu,” ujarnya lagi.
Tambahnya, NGO-NGO lain yang akan turut memberi perkhidmatan dan sumbangan yang diperlukan adalah Gabungan Persatuan Cina (UCA) Bahagian Sibu; Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Cawangan Sibu; Lions Club Sibu; Junior Chamber International (JCI) Malaysia Sibu; KRT Brooke Drive dan Empawah; Chinese Annual Conference, Methodist Church in Malaysia Sibu; dan beberapa lagi NGO serta ‘kind hearted individuals’ yang telah menyatakan komitmen untuk menyumbang kepada TTUG Sibu nanti.
Fatimah memberitahu, kementeriannya juga sedang merancang untuk menubuhkan TTUG di Kuching, Miri dan Bintulu dengan kerjasama Jawatankuasa Penyelarasan Pemantauan Sosial Bahagian yang dipengerusikan oleh Residen masing-masing.
“Bagi Kuching dan Miri, kita sedang dalam proses mencari kawasan yang strategik untuk menubuhkan TTUG ini.
“Saya juga menyeru kepada semua pihak agar terus menyokong usaha-usaha bagi memastikan setiap golongan masyarakat dapat menikmati kesejahteraan sosial,” katanya.
Terdahulu, Fatimah telah mengadakan lawatan ke Rumah MAKSAK berkenaan dan beramah mesra dengan tiga orang gelandangan yang menerima perkhidmatan gunting rambut percuma serta menerima sumbangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Sibu.
Turut hadir ialah Residen Bahagian Sibu, Charles Siaw serta yang lain.
Oleh Akun Giman