SIBU: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) perlu terus memperkukuh hubungan dan semangat persaudaraan dalam kalangan ahli dengan mengadakan lebih banyak aktiviti bersama di luar musim konvensyen dan pilihan raya.
Naib Presiden PBB, Datuk Dr Annuar Rapa’ee berkata, pertemuan antara ahli parti dari Samariang dan Sibu membuktikan hubungan serta kerjasama dalam parti boleh diperkukuh menerusi aktiviti santai seperti majlis makan malam.
“Kadang kala kita hanya bertemu ketika konvensyen. Selain itu, kita jarang mempunyai peluang untuk bertemu. Oleh itu, saya percaya kita perlu terus menganjurkan aktiviti seperti ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Makan Malam Bersama PBB Samariang di Dewan LAKIS, di sini malam tadi.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat itu berkata, kunjungan balas antara ahli PBB dari kawasan berbeza juga boleh diadakan, termasuk sempena konvensyen parti yang akan datang di Kuching.
“Hubungan lebih erat antara ahli dari pelbagai kawasan bukan sahaja mengukuhkan semangat kekeluargaan dalam parti, malah dapat meningkatkan kerjasama di peringkat akar umbi,” katanya.
Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata, kerjasama antara ahli juga boleh diperluaskan kepada usaha mendekati pengundi muda, khususnya mereka dari Sibu yang kini menetap di Kuching dan kawasan lain di Sarawak.
“Dengan kemudahan pergerakan pada masa kini, ramai anak muda dari Sibu kini berada di Kuching. Kita perlu bekerjasama bagi memastikan kumpulan pengundi ini terus bersama kita,” katanya.
Beliau berkata, hubungan berterusan dengan pengundi yang berpindah keluar dari kawasan masing-masing, terutama golongan muda yang baru layak mengundi, penting bagi memastikan mereka terus dekat dengan parti.
“Kerjasama lebih erat dalam kalangan ahli akan membantu memperkukuh PBB serta peranannya sebagai parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS),” ujarnya lagi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Cawangan PBB Samariang, Baderi Samad berkata, pertemuan berkenaan mencerminkan hubungan erat ahli parti walaupun dipisahkan jarak geografi.
Menurutnya, semangat persaudaraan itu tidak seharusnya hanya terserlah ketika konvensyen atau pilihan raya, sebaliknya perlu dipupuk secara berterusan.
“Delegasi PBB Samariang singgah di Sibu dalam perjalanan menghadiri Konvensyen Khas Zon Utara PBB sebagai tanda sokongan kepada ahli parti di seluruh Sarawak,” ujarnya.
Oleh Akun Giman





