
PETRA JAYA: Festival Menuai dan Cerita Rakyat Sarawak (SHFF) 2026 kembali dianjurkan di Kampung Budaya Sarawak (SCV) pada 23 dan 24 Mei ini, dengan teater muzikal ‘Belawan Burieng – Hercules dari Sungai Keliman’ muncul sebagai antara tarikan utama penganjuran tahun ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran festival itu menjadi wadah penting dalam memartabatkan warisan nenek moyang di samping memastikan ia terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi muda.
“Tema tahun ini iaitu ‘Meraikan Warisan, Mengilhamkan Masa Depan’ menekankan keseimbangan antara usaha memelihara tradisi lama dan usaha menyemai kesedaran dalam kalangan generasi muda terhadap kepentingan identiti budaya.
“Festival ini bukan sekadar acara hiburan, tetapi satu usaha berterusan untuk memastikan warisan budaya kita terus hidup dan difahami oleh generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media festival tersebut di bilik media Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata persembahan teater muzikal berkenaan yang mengangkat kisah legenda masyarakat Kayan memberi peluang kepada pengunjung, khususnya pelancong luar, untuk memahami dengan lebih mendalam cerita rakyat serta nilai budaya yang membentuk identiti masyarakat Sarawak.
“Produksi berkenaan turut menampilkan bakat tempatan termasuk Azam Pit dan Lorna Walter yang membawakan kisah watak separuh manusia dan separuh dewa, dengan penekanan terhadap nilai keberanian, belas kasihan dan pengorbanan,” dedahnya.
Dalam pada itu, beliau berkata harga tiket kekal berpatutan bagi memastikan semua lapisan masyarakat dapat turut serta, iaitu RM20 bagi kemasukan siang untuk orang dewasa manakala RM50 bagi persembahan malam.
Perkhidmatan bas ulang-alik juga disediakan dari Kampung Sukan ke Kampung Budaya Sarawak bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas sepanjang tempoh festival berlangsung.
Penganjuran festival itu merupakan kerjasama antara Kampung Budaya Sarawak dan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan dalam usaha memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai destinasi pelancongan budaya bertaraf antarabangsa.
Selain persembahan utama, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai aktiviti termasuk persembahan kebudayaan yang menampilkan muzik dan tarian tradisional Sarawak, bengkel interaktif, permainan tradisional masyarakat pribumi serta segmen makanan dan minuman yang mengetengahkan hidangan dan hasil kraftangan tempatan.
Oleh Adele Rissa