
KUCHING: Sharing Cafe mencatat sejarah tersendiri apabila diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBR) selepas berjaya menjual sebanyak 489,086 set chicken chop dalam tempoh setahun, menjadikannya jualan tertinggi di negara ini bagi kategori tersebut.
Pengasas merangkap Pengarah Urusan Sharing Cafe, Kenneth Tiong, berkata pencapaian itu adalah hasil usaha berterusan sejak penubuhan perniagaan lebih dua dekad lalu.
“Saya bermula dengan hanya satu kedai dan lakukan semuanya sendiri – dari mencuci lantai, membeli bahan mentah, sehinggalah menguruskan operasi pada waktu malam.
“Ketika itu, kami mengalami kerugian setiap bulan, tetapi saya tetap teruskan kerana percaya pada visi serta minat saya dalam industri makanan dan minuman (F&B),” katanya ketika berucap pada majlis Pengiktirafan MBR bagi Rekod Jualan Tertinggi Chicken Chop oleh Sharing Cafe di Hotel Sheraton, hari ini.
Menurutnya lagi, kejayaan itu bukan sahaja menjadi penanda aras kepada perniagaan yang dibina, malah simbol kepada kekuatan semangat pasukan Sharing Cafe yang kini telah berkembang kepada 11 cawangan di seluruh negara.
“Saya percaya kepada konsep berkembang bersama. Sebab itu, saya dan isteri turut sama menghadiri latihan serta seminar perniagaan sejak dari awal.
“Ramai melihat kejayaan hari ini, tetapi tidak ramai yang tahu kami pernah melalui fasa berjimat cermat, kurang tidur dan bekerja siang malam.
“Rekod ini bukan milik saya seorang, tetapi milik seluruh pasukan yang berdiri bersama sejak hari pertama,” jelasnya.
Penyampaian pengiktirafan Malaysia Book of Records kepada Sharing Cafe turut disaksikan oleh Pengerusi OE EduGroup yang juga pengasas MK Curtain Berhad, Dato’ Wira Calvin Khiu.
Oleh Masrin Affirah & Norman B.