
KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Datuk Mohd Azizulhasni Awang mempamerkan kayuhan cemerlang apabila masing-masing berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan podium dalam acara final keirin pada Kejohanan Piala Trek Jepun 1, hari ini.
Pada perlumbaan yang berlangsung di Velodrom Izu, Shizuoka, Jepun, Shah Firdaus meraih pingat perak manakala Azizulhasni melengkapkan podium menerusi pingat gangsa.
Pingat emas acara keirin itu menjadi milik pelumba tuan rumah yang juga juara Sukan Asia 2022, Kaiya Ota.
Kedua-dua pelumba negara dijadualkan kembali beraksi di venue sama esok bagi menghadapi saingan Kejohanan Piala Trek Jepun 2.- Bernama