KUCHING: Satu projek rakyat diluluskan Kerajaan Sarawak iaitu pengantian paip lama kepada paip baharu menggunakan paip High Density Polyethylene Pipe (HDPE) bagi menggantikan paip Galvanised Iron (G.I) lama dan berkarat dari meter air sehingga ke dalam rumah panjang.
Kementerian Utiliti Sarawak dalam satu kenyataan berkata, skop projek itu merangkumi pemasangan sistem paip yang baharu di dalam rumah dari meter air ke setiap rumah.
Kerja pemasangan melibatkan paip HDPE 25mm, meter air bagi menggantikan sistem paip lama untuk 15 rumah panjang di Uma Lesong, Uma Penan, Uma Juman, Uma Ukit, Uma Badeng, Uma Balui Ukap, Uma Bakah, Uma Belor, Uma Lepo Kulit, Uma Balui Leko, Uma Bawang, Uma Kelep, Uma Lahanan, Uma Nyaving dan Uma Daro, kata kenyataan itu.
“Projek Rakyat yang bernilai hampir RM0.9 juta itu siap sepenuhnya pada Jun 2019 dan memberi manfaat kepada 15 rumah panjang dengan sebanyak 1,742 isi rumah di kawasan Sg Asap,” katanya.
Kenyataan juga itu memberitahu dalam usaha untuk mencapai matlamat dan visi membekalkan air 100 peratus tercapai menjelang tahun 2025, adalah menjadi tanggungjawab Kementerian Utiliti Sarawak yang diketuai oleh Setiausaha Tetapnya, Dato Ir. Alice Jawan dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak yang diketuai Pengarah Ir. Chang Kuet Shian, untuk merealisasikan matlamat berkenaan.
Tambah kenyataan itu bekalan air terawat kepada seluruh Sg. Asap iaitu penempatan semula Bakun bermula sejak 1996 melalui Loji Rawatan Air Sg. Asap yang berkapasiti 5JLS.
“Pada 2019, keseluruhan Sg. Asap mempunyai 15,000 penduduk dan ia semakin meningkat sehingga ke hari ini.
“Untuk menangani pertambahan penduduk itu, Kerajaan Sarawak mengambil inisiatif di bawah Kementerian Utiliti Sarawak dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar sebagai agensi pelaksananya dengan melaksanakan projek pembaharuan sistem air termasuk loji air baharu, tangki air simpanan dan sistem retikulasi baharu dan siap pada 2018,” ujar kenyataan berkenaan.
Walaubagaimanapun, kenyataan itu mendedahkan aduan masih diterima terutamannya berkenaan dengan kualiti air yang kuning dan tekanan air yang rendah. Hasil siasatan mendapati punca utama yang dikenalpasti adalah disebabkan sistem paip lama (selepas meter air) yang masih menggunakan paip Galvanised Iron.
“Paip tersebut berkarat dari bahagian dalam paip selepas 20 lebih tahun digunakan dan diamater paip menjadi semakin kecil,” jelasnya dan menambah ia digantikan oleh projek rakyat seperti dinyatakan.
Oleh Diyana Samsuddin