SIBU, 8 Oktober: Sekolah Pengajian Asasi (SFS), Universiti Teknologi Sarawak (UTS) meneruskan komitmennya terhadap tanggungjawab sosial menerusi penganjuran kempen sumbangan barangan keperluan asas kepada Dawn Hope Shelter.
Inisiatif kebajikan itu merupakan kesinambungan daripada kejayaan penganjuran program advokasi pendidikan bertajuk ‘Pilihan Sihat, Masa Depan Sejahtera: Bicara Mengenai Kesihatan Seksual dan Kesejahteraan Mental’ yang berlangsung pada 7 Ogos lalu.
Kempen berkenaan mencapai kemuncaknya pada 27 September lalu menerusi penyerahan rasmi barangan keperluan asas kepada pusat perlindungan tersebut.
Pihak Dawn Hope Shelter turut mengesahkan penerimaan sumbangan berkenaan dengan selamat, sekali gus menandakan kejayaan usaha SFS menggabungkan program pendidikan dengan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.
Menurut SFS, inisiatif itu bukan sekadar bertujuan mengumpul barangan keperluan, malah menjadi platform untuk memupuk semangat keprihatinan, empati dan kesedaran sosial dalam kalangan warga universiti.
Melalui penglibatan kakitangan serta para penyokong, kempen tersebut berjaya menterjemahkan usaha advokasi kepada bantuan berbentuk fizikal yang dapat memberi manfaat kepada golongan memerlukan.
Usaha berkenaan turut memperkukuh budaya penyayang, tanggungjawab institusi serta semangat kesukarelawanan dalam kalangan komuniti kampus.
Pada masa sama, penganjuran kempen itu membuktikan bahawa institusi pengajian tinggi bukan sahaja berperanan sebagai pusat penyebaran ilmu pengetahuan, malah mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan kesejahteraan masyarakat setempat.
Sehubungan itu, SFS berhasrat untuk memperbanyakkan program jangkauan komuniti seumpamanya pada masa akan datang bagi memastikan sumbangan kepada masyarakat dapat dilaksanakan secara berterusan.
SFS juga akan meneroka peluang kerjasama lebih luas dengan pelbagai pihak bagi memperkukuh pelaksanaan program kemasyarakatan serta memperluaskan manfaat kepada golongan yang memerlukan.
Melalui pendekatan tersebut, SFS berharap dapat terus memainkan peranan aktif dalam memperkasakan jaringan sokongan komuniti, di samping mewujudkan impak sosial positif yang berkekalan.
Oleh Akun Giman




