
SIBU: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) melaksanakan operasi mengurangkan populasi buaya (culling) di kawasan Batang Igan sebagai langkah proaktif bagi mengurangkan risiko konflik antara manusia dengan reptilia berkenaan di kawasan berisiko.
Menurut kenyataan SFC, operasi yang dikendalikan oleh SFC Sibu itu bermula pada 21 Julai lalu dan dijadualkan berlangsung sehingga 2 Ogos ini.

Bagi fasa awal operasi, pemasangan set pancing khas dilaksanakan dari muara Sungai Lubuk Kabang hingga ke kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Pinang.
Sebanyak 10 set pancing berjaya dipasang di lokasi strategik yang dikenal pasti berdasarkan penilaian lapangan bagi meningkatkan keberkesanan operasi berkenaan.

SFC memaklumkan semua set pancing tersebut kini aktif dan akan dipantau secara berkala sepanjang tempoh operasi bagi memastikan objektif mengurangkan populasi buaya di kawasan terbabit dapat dicapai.
Operasi itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan SFC dalam meningkatkan tahap keselamatan penduduk yang tinggal serta menjalankan aktiviti berhampiran kawasan sungai yang dikenal pasti mempunyai kehadiran buaya.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada ketika berada di kawasan sungai dan melaporkan sebarang penampakan buaya menerusi aplikasi Sarawak Croc Watch bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil oleh pihak berkuasa.
Oleh Shahrul Qaizat




