NUR AIN OTSMAN
KUCHING: Setiap isi rumah layak menerima Bantuan Makanan Sarawakku Sayang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Dr Hazland Abang Hipni berkata, seperti yang pernah dimaklumkan sebelum ini bahawa bantuan berkenaan akan terus diagihkan kepada setiap isi rumah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut.
“Setiap isi rumah akan dapat bantuan makanan ini tetapi secara berperingkat.
“Ini bertujuan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Oleh sebab itu, tambahnya, ada kampung yang menerima bantuan makanan ini lewat dan ada kampung yang menerima awal.
“Kita memahami keperluan masyarakat dan dalam masa yang sama kita perlu mengikuti SOP demi keselamatan bersama,” ujarnya lagi.
Sehingga kini, sebanyak 6,020 keluarga telah menerima Bantuan Makanan Sarawakku Sayang sejak Fasa Kedua PKP dilaksanakan.
Pada Khamis lepas, sebanyak 1,039 keluarga dari Kampung Tabuan Dani, Kampung Goebilt, Kampung Sungai Bako, Kampung Sejingkat Hilir, Kampung Selipar Putus, Kampung Semilang, Kampung Beradek dan Taman Pine Villa telah menerima sumbangan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang dari Kerajaan Sarawak.
Mengulas mengenai Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS), masyarakat di DUN Demak Laut yang tidak tersenarai sebagai penerima BKSS boleh membuat permohonan di laman web https://www.sarawak.gov.my/web/home/article_view/233/326/.
“Permohonan boleh dibuat melalui atas talian dengan melengkapkan borang permohonan di link https://www.sarawak.gov.my/web/home/bkss_form/254 dan hantar.
“BKSS ini hanyak layak kepada setiap isi rumah (suami atau isteri) dari golongan B40 dengan jumlah pendapatan isi rumah adalah kurang RM4,000 sebulan atau bujang yang berumur 40 tahun hingga 59 tahun, OKU berumur 18 tahun hingga 59 tahun dengan pendapatan kurang RM2,000 sebulan.
“Manakala, mereka yang pernah menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) pada Januari 2020, tidak perlu membuat permohonan baharu kerana nama mereka secara automatik akan menerima BKSS,” jelasnya.