Penempatan guru baharu bukan sekadar arahan, tetapi surat amanah – Omar Mahli

Facebook
WhatsApp
OMAR Mahli semasa Taklimat Penempatan Bilangan 5 Tahun 2026 di Bilik Mesyuarat Pengarah, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, hari ini. Foto: Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak

PETRA JAYA: “Jangan tanya apa sekolah boleh beri kepada anda, tetapi tanyalah apa yang boleh anda sumbangkan kepada sekolah.”

Itu mesej tegas Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG9 lantikan tetap, kontrak interim dan kontrak sempena Taklimat Penempatan Bilangan 5 Tahun 2026 di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak, hari ini.

Beliau berkata, penempatan ke sekolah bukan sekadar arahan bertugas, sebaliknya merupakan permulaan kepada amanah besar untuk membentuk masa depan murid dan negara.

Menurutnya, surat penempatan perlu dilihat sebagai “surat amanah” yang membawa tanggungjawab kepada Kementerian Pendidikan Malaysia, JPN Sarawak, ibu bapa dan masyarakat keseluruhannya.

“Setiap guru mempunyai kuasa untuk mengubah kehidupan seorang murid. Itulah kekuatan sebenar pendidikan,” katanya.

Dalam amanat tersebut, Omar turut mengingatkan guru baharu supaya sentiasa prihatin terhadap keperluan murid, khususnya mereka yang berada di luar bandar dan pedalaman, serta tidak sesekali memadamkan harapan mereka untuk berjaya.

Beliau menegaskan bahawa pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 memerlukan komitmen guru dalam memastikan dasar pendidikan diterjemahkan kepada tindakan yang memberi impak nyata kepada murid di bilik darjah.

Pada masa sama, beliau menyeru warga pendidik menghayati budaya kerja 3P iaitu Proaktif, Persuasif dan Produktif dalam melaksanakan tugas. 

Guru perlu bertindak pantas mengenal pasti keperluan murid, mempengaruhi dengan ilmu dan hikmah serta menghasilkan perubahan yang membawa manfaat kepada sekolah dan masyarakat.

Selain itu, aspek integriti, profesionalisme dan maruah keguruan perlu sentiasa dipelihara kerana setiap tindakan guru memperlihatkan imej profesion, sekolah, JPN Sarawak dan Kementerian Pendidikan.

Omar turut menggesa guru baharu agar membawa bersama ilmu, keberanian, rendah hati dan semangat 3P dalam melaksanakan tugas.

“Saudara mungkin tidak mampu mengubah seluruh dunia. Tetapi saudara mampu mengubah dunia seorang murid,” katanya.

Katanya, itulah kuasa pendidikan, amanah seorang guru dan jiwa sebenar seorang pendidik.

Oleh Adi Safarman