
DAEJEON: Seekor serigala yang meloloskan diri dari sebuah zoo di bandar Daejeon, Korea Selatan berjaya ditangkap hari ini, selepas sembilan hari hilang, sebelum dikembalikan ke kandangnya, lapor Agensi Berita Yonhap memetik pegawai bandar.
Serigala bernama Neukgu itu ditangkap pada 12.44 tengah malam berhampiran sebuah persimpangan di bandar berkenaan, kira-kira 140 kilometer di selatan Seoul, sebelum dibawa ke zoo dalam taman tema Daejeon O-World, menurut pegawai terbabit.
Pegawai menembak Neukgu dengan peluru ubat pelali sebelum berjaya menangkapnya dalam keadaan hidup.
“Kami telah memindahkannya dengan selamat ke O-World,” kata seorang pegawai operasi pencarian. “Setakat ini keadaannya baik dan kami memantaunya sehingga dia sedar daripada kesan bius.”
Neukgu menggali keluar dari kandangnya pada 8 April, mencetuskan operasi pencarian besar-besaran melibatkan dron tentera dan polis, selain liputan meluas media.
Serigala itu dilihat beberapa kali selepas melarikan diri namun menghilang setiap kali sebelum berjaya ditangkap.
Dalam satu sidang media pada hari yang sama, seorang pegawai kerajaan metropolitan Daejeon berkata mata kail sepanjang 2.6 sentimeter ditemukan melalui imbasan sinar-X di dalam perut serigala itu, bersama sehelai daun dan tulang ikan.
“Kami berjaya mengeluarkannya dengan selamat berikutan risiko kebocoran pada dinding perut,” kata pegawai itu sambil menambah haiwan berkenaan kini dalam proses pemulihan.
Datuk Bandar Daejeon Lee Jang-woo merakamkan penghargaan kepada rakyat dan seluruh negara atas sokongan terhadap usaha membawa pulang Neukgu.
“Saya juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada anggota bomba, polis, pegawai awam, sukarelawan, kumpulan perlindungan haiwan dan alam sekitar serta pakar yang membantu operasi penangkapan, dan memohon maaf kepada rakyat yang bimbang tentang keselamatan mereka,” katanya di media sosial.
“Saya akan berusaha memupuk kecintaan terhadap haiwan dengan merangka langkah kebajikan haiwan dan keselamatan rakyat dalam proses penstrukturan semula O-World supaya kejadian seperti ini tidak berulang.” – Bernama