
DUBAI: Dubai mengumumkan semalam, ‘vertiport’ bersepadu pertama bagi perkhidmatan teksi udaranya siap dibina, sekali gus menandakan langkah penting dalam usaha emiriah itu membangunkan sistem pengangkutan bandar yang maju dan mampan.
Kemudahan itu yang terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, meliputi kawasan seluas 3,100 meter persegi.
Bangunan empat tingkat itu dilengkapi dengan dua platform khas untuk pelepasan dan pendaratan bagi pesawat elektrik pelepasan dan pendaratan menegak (eVTOL), selain kemudahan tempat letak kenderaan bagi pengguna.
Projek berkenaan dijangka mampu mengendalikan sehingga 170,000 penumpang setiap tahun, manakala operasi komersial teksi udara itu dijadualkan bermula pada akhir 2026.
Sebanyak empat “vertiport” dirancang dalam fasa awal, merangkumi lokasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, Pusat Bandar Dubai, Palm Jumeirah dan Marina Dubai.
Sistem pengangkutan itu dijangka dapat mengurangkan masa perjalanan dengan ketara, di mana penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai ke Palm Jumeirah hanya mengambil masa kira-kira 10 minit berbanding 45 minit jika menaiki kereta. – Bernama