SKUAD Serian FA berjaya melangkah ke separuh akhir dalam pusingan akhir Liga Bola Sepak Bawah 20 Tahun SSC-FAS 2022.
Kejayaan pasukan bimbingan Rockeffller Sullau itu merealisasikan impian ke pusingan separuh akhir selepas menumpaskan Sarikei FA 3-1 dalam aksi terakhir mereka di Stadium Negeri, Petra Jaya petang semalam.
Dalam aksi itu, Serian FA yang turun dengan misi untuk meneruskan momentum kemenangan dan misi untuk ke separuh akhir bermula agak garang apabila mencipta tiga gol dalam tempoh 15 minit separuh masa pertama.
Penyerang Serian FA, Muhammad Shahrul Bohari mencipta jaringan pertama pasukannya pada minit ke-11, disusuli Elard George Terry George meledak jaringan pada minit ke-20 sebelum Mohamad Syah Qabillah Rosli menambah derita Sarikei FA dengan jaringan pada minit ke-26.
Gol tunggal Sarikei FA dijaringkan Nur Zulfakar Zaini minit ke-38.
“Syabas kepada pemain kerana mereka telah berjaya memastikan kemenangan dengan tiga mata yang begitu bermakna, sekali gus pasukan kita mara ke peringkat separuh akhir.
“Ia merupakan satu kemenangan dan kejayaan yang cukup berharga buat kami kerana mampu melangkah jauh pada musim ini,” kata Rockeffller Sullau kepada Utusan Sarawak.
Rockeffller berkata, dia bersama barisan kejurulatihan selepas ini akan mempersiapkan pasukan bagi mengharungi aksi separuh akhir dan masih menunggu pasukan manakah yang akan menentang mereka nanti.
Serian FA berjaya mengumpul tujuh mata hasil daripada dua kemenangan dan sekali seri selepas menamatkan tiga perlawanan.
Oleh ADI SAFARMAN