CORDOBA: Juara bertahan, Sepanyol mara ke suku akhir Liga Negara-Negara UEFA selepas melakar kemenangan 3-0 ke atas Serbia, awal pagi tadi.
Pasukan bimbingan Luis de la Fuente tampil cemerlang di Cordoba sekali gus memastikan kemaraan mereka dari Kumpulan A4 dengan berbaki dua perlawanan.
Walaupun kehilangan beberapa pemain berstatus bintang semasa kejayaan di Euro 2024, Sepanyol tetap mendominasi permainan dan menang hasil jaringan Aymeric Laporte, Alvaro Morata dan Alex Baena.
La Roja beraksi tanpa pemain sayap remaja berbakat, Lamine Yamal, yang kembali ke Barcelona selepas kemenangan 1-0 ke atas Denmark, Ahad lalu akibat kecederaan hamstring serta ketiadaan Rodri Hernandez dan Dani Carvajal yang terpaksa berehat panjang.
Morata gagal menyempurnakan sepakan penalti sebelum berjaya menjaringkan gol pada separuh masa kedua dan berterima kasih kepada penyokong yang terus menyokongnya.
“Saya hanya boleh berterima kasih kepada penduduk Cordoba, setiap kali saya datang ke sini, atas kasih sayang yang mereka berikan kepada saya.
“Hari ini mereka membantu saya terus berjuang kerana saya terlepas penalti dan kemudian saya berjaya menjaringkan gol.
“Kami berada di fasa akhir sekali lagi, itulah yang paling penting. Mungkin nampak mudah, tetapi kami sudah berada dalam semua fasa akhir ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan itu patut diberikan penghargaan,” kata Morata kepada TVE.
Jurulatih De la Fuente menurunkan Baena dari Villarreal menggantikan Yamal dan memasukkan Mikel Merino dari Arsenal menggantikan pemain tengah Barcelona, Pedri.
Sepanyol kini tidak kalah dalam 14 perlawanan dan tidak seperti keputusan seri 0-0 di Belgrade pada bulan lalu, mereka mencipta banyak peluang kali ini. – AFP