
LIMBANG: Seorang wanita antara tujuh individu yang diberkas dalam Ops Tapis Khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak yang dijalankan selama tiga hari bermula Ahad hingga Selasa lepas yang diadakan di seluruh daerah termasuk di Limbang.
Ketua Polis Daerah Limbang Superintendan Parum Niot berkata sebanyak tujuh serbuan dan 13 pemeriksaan diadakan di beberapa lokasi termasuk ‘lubuk’ aktif, kawasan perumahan, rumah kedai, perkampungan serta kawasan lain yang disyaki tempat pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
“Hasil serbuan yang dijalankan seramai tujuh individu ditangkap atas kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dadah jenis syabu seberat 12.88 gram, bernilai RM1,400 turut dirampas.
“Rampasan dadah jenis syabu seberat 12.88 gram boleh digunakan oleh seramai 64 penagih,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Parum lagi suspek wanita ditahan bersama rampasan syabu beranggaran berat 5.10 gram dan seorang lagi suspek lelaki ditahan dan merampas syabu beranggaran berat 6.50 gram.
“Suspek wanita dan lelaki itu ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952 dan ujian awal saringan air kencing ke atas kedua-dua individu tersebut didapati positif dadah,” ujarnya.
Katanya tiga lagi suspek lelaki ditangkap di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 kerana memiliki dadah berbahaya dan dua lagi suspek lelaki telah ditangkap di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 memandangkan ujian awal saringan air kencing didapati positif dadah.
“Pihak polis terutamanya JSJN Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang amat serius dalam misi membanteras dadah habis-habisan bagi menentukan negara dan masyarakat kekal selamat, aman dan sejahtera.
“Orang ramai diminta untuk dapat menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah dan jenayah kepada pihak polis,” kata beliau.
Katanya lagi mereka yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi IPD Limbang di talian 085-211466 atau hotline polis Sarawak di talian 08-2245 522 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.
Oleh ADENG EDRUS