Tempat berteduh Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah dijangka siap Mac 2027

Facebook
WhatsApp
TINJAU...Datuk Sebastian Ting Chiew Yew meninjau perkembangan projek pembinaan tempat berteduh di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu 1, Kuala Baram.

MIRI, 11 November: Projek pembinaan tempat berteduh baharu di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu 1, Kuala Baram, yang dilaksanakan menerusi peruntukan RM80,000 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP), kini mencapai 20 peratus kemajuan fizikal dan dijangka siap menjelang Mac 2027.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, beliau berpuas hati dengan perkembangan projek yang bermula pada 1 Oktober lalu dan berjalan lancar mengikut perancangan.

“Saya amat gembira kerana projek ini berjalan lancar. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kontraktor yang terlibat dalam melaksanakan kerja-kerja pembinaan.

“Saya turut mendapatkan perkembangan terkini daripada kontraktor dan dimaklumkan bahawa pembinaan kini mencapai kira-kira 20 peratus kemajuan fizikal,” katanya ketika mengadakan lawatan ke tapak projek berkenaan, hari ini.

RTP… Projek pembinaan tempat berteduh di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah dilaksanakan menerusi peruntukan RM80,000 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP).

Projek tersebut melibatkan pembinaan sebuah tempat berteduh berukuran empat meter lebar dan lapan meter panjang yang dilengkapi empat bilik.

Sementara itu, Bendahari Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Batu 1, Yarabi Bob, merakamkan penghargaan atas peruntukan yang disalurkan bagi membolehkan kemudahan berkenaan dibina.

“Kami amat menghargai lawatan Datuk Sebastian Ting ke kawasan tanah perkuburan ini.

“Projek pembinaan tempat berteduh berukuran empat meter kali lapan meter ini telah diserahkan kepada kontraktor dan dijangka siap menjelang Mac tahun depan,” katanya.

Pembinaan kemudahan baharu itu dijangka dapat menambah baik prasarana di tanah perkuburan berkenaan, sekali gus memenuhi keperluan pihak pengurusan serta masyarakat Islam yang berkunjung ke kawasan tersebut.

Oleh Connie Chieng