
Foto ADUM LIU
BEKENU: Seorang maut manakala tiga terselamat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 886.1, Lebuhraya Pan Borneo di Jalan Bintulu-Miri berhampiran Ladang 3, Batu Niah, pagi tadi.
Menurut pemberita Utusan Sarawak yang berada di lokasi kejadian, pada 8.23 pagi, dua kenderaan itu masing-masing menghala ke Miri.
Katanya, tiga mangsa terdiri daripada sepasang suami isteri yang menaiki kereta jenis Perodua Aruz, dan pemandu lori kontena dilaporkan selamat namun mengalami kecederaan.
Ketiga-tiga mangsa berkenaan, laporan pemberita, telah dibawa oleh pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) ke Hospital Miri.
Susulan kejadian, hanya separuh jalan dibuka buat sementara waktu, dan mengakibatkan kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit.
Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerusi kenyataan pula memaklumkan menerima panggilan berhubung insiden pada 8.23 pagi.
“Ketibaan jentera bomba di lokasi kejadian pada 8.50 pagi, ketiga-tiga mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam.
“Setakat 10.15 pagi, pasukan bomba melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa sementara menunggu bantuan daripada pihak towing untuk mengalihkan lori tersebut disebabkan kelindan masih berada di bawah kepala lori,” katanya.
Setakat 12.16 tengah hari ini, jurucakap PGO JBPM Sarawak memaklumkan kelindan lori telah berjaya dikeluarkan, dan dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mangsa dikenali sebagai Derald Suggin, 36, berbangsa Bidayuh.
Operasi diketuai Komander Operasi PBK II Raymond Sigan Candang dibantu tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah bersama dua jentera.
Turu berada di lokasi, Ketua BBP Batu Niah yang juga Komander Operasi Kanan PBT II Rary Benjie.
Antara agensi lain yang turut berada di lokasi ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan KKM.
Oleh Adum Liu