Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Seni di hujung jari, rezeki di tanah perantauan: Pauline Tan bina bisnes kuku dari kediaman
  • INSPIRASI

Seni di hujung jari, rezeki di tanah perantauan: Pauline Tan bina bisnes kuku dari kediaman

Utusan Sarawak 4 hours ago
PAULINE Tan ketika melakukan proses menghias kuku penulis di Kuching, hari ini. Foto Nadya Victoria 

KUCHING: Kunjungan penulis untuk mendapatkan perkhidmatan menghias kuku di sebuah studio di kediaman bertukar menjadi satu kisah inspirasi apabila mengenali perjalanan usahawan muda, Pauline Tan, 28, yang gigih membina bisnes di perantauan.

Bukan berasal dari Kuching, Pauline pada masa sama menggalas dua pekerjaan bagi meneruskan kehidupan.

“Saya bukan berasal dari Kuching dan perlu menggalas dua pekerjaan, jadi saya mengambil setiap peluang yang ada untuk menjana pendapatan,” katanya ketika ditemui penulis hari ini. 

Pauline mengusahakan perkhidmatan seni hias kuku di bawah jenama Mainails_touch, dengan minat terhadap seni kuku yang bermula secara santai sebelum berkembang menjadi sumber rezeki.

“Pada mulanya saya suka buat sendiri, kemudian terfikir mengapa tidak saya lakukan untuk orang lain pula,” ujarnya.

Kemahiran itu dibina secara kendiri sebelum beliau mengikuti kursus bagi memperkemaskan teknik, selain merancang untuk terus menambah ilmu pada masa akan datang.

“Saya belajar sendiri dahulu, kemudian ambil kursus. Saya juga bercadang untuk mengikuti kursus lain bagi meningkatkan kemahiran,” katanya.

Namun, perjalanan membina bisnes tidak mudah apabila beliau berdepan cabaran dari segi modal, peralatan serta tuntutan kreativiti dalam memenuhi kehendak pelanggan.

“Tidak semudah yang disangka. Banyak perkara perlu difikirkan seperti modal, produk dan kreativiti,” katanya.

 PAULINE Tan menunjukkan antara hasil seni kuku di bawah jenama Mainails_touch di studio di kediamannya. Foto Nadya Victoria

Pauline mengakui pernah melalui fasa sukar apabila merasakan dirinya kurang kreatif sehingga hampir berputus asa.

“Memang pernah rasa mahu berputus asa kerana saya rasa tidak cukup kreatif,” tambahnya. 

Langkah awal bermula dengan menawarkan perkhidmatan secara percuma kepada rakan serumah sebelum menerima maklum balas positif yang menjadi titik perubahan dalam keyakinannya.

“Saya mula dengan menawarkan kepada rakan serumah untuk cuba secara percuma,” katanya. 

“Maklum balas positif daripada pelanggan memberi saya semangat untuk teruskan,” ujarnya.

Dalam aspek kreativiti, Pauline banyak mendapatkan inspirasi daripada aplikasi Pinterest, Instagram serta rujukan artis lain, selain memenuhi permintaan pelanggan mengikut tema tertentu seperti perkahwinan, pertunangan dan graduasi.

Antara rekaan paling mencabar ialah corak marmar yang masih dalam proses pembelajaran dan penambahbaikan.

“Rekaan marmar agak sukar dan saya masih belajar untuk memperbaikinya,” katanya.

Kreativiti, jelasnya, amat penting bagi memastikan hasil kerja menepati jangkaan pelanggan.

“Kreativiti sangat penting, jika tidak hasilnya mungkin tidak seperti diharapkan pelanggan,” jelasnya.

ANTARA rekaan seni kuku bertemakan elegan dan feminin yang menjadi pilihan pelanggan. Foto Pauline Tan 

Permintaan pelanggan pula pelbagai, dengan rekaan bunga tiga dimensi antara yang paling popular, selain pernah menerima tema lebih berani seperti gotik.

“Setiap pelanggan mempunyai citarasa tersendiri,” jelasnya.

Terdapat juga pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan bukan sekadar untuk kecantikan, tetapi bagi meningkatkan keyakinan diri.

“Ada pelanggan yang datang untuk rasa lebih yakin,” katanya.

Media sosial memainkan peranan besar dalam mengembangkan bisnes, terutama ketika musim perayaan apabila tempahan meningkat mendadak.

“Untuk musim perayaan seperti Gawai, tempahan boleh penuh dengan cepat. Bulan Mei akan datang sudah penuh,” katanya.

Namun, cabaran tetap ada termasuk pembatalan saat akhir yang menjejaskan jadual kerja.

REKAAN kuku penulis yang dihasilkan oleh Pauline Tan, menampilkan sentuhan kreatif dan kemasan teliti. Foto Nadya Victoria 

“Antara cabaran utama adalah pelanggan yang membatalkan tempahan pada saat akhir,” katanya.

Mengimbangi kerja dan kehidupan, Pauline bekerja dari pagi hingga malam, namun turut dibantu suami dalam urusan rumah tangga.

“Saya bekerja dari pukul 9.00 pagi hingga 9.30 malam, memang penat, tetapi suami banyak membantu,” katanya.

Bagi Pauline, memiliki bisnes sendiri memberi makna besar dalam hidupnya sebagai wanita muda di perantauan.

“Ini sangat bermakna kerana saya mempunyai bisnes sendiri,” katanya.

Beliau berharap dapat memiliki ruang kerja yang lebih selesa bagi kemudahan pelanggan dan perkembangan bisnes pada masa akan datang.

“Saya ingin ada ruang yang lebih selesa untuk saya dan pelanggan,” katanya.

Mengakhiri perbualan, Pauline menyifatkan kerjaya ini sebagai sesuatu yang menyeronokkan walaupun penuh cabaran, dengan pengalaman harian yang tidak dijangka.

“Kerja ini menyeronokkan, tetapi ada sahaja perkara tidak dijangka berlaku,” katanya sambil tersenyum.

Oleh Adele Rissa

Tags: inspirasi

Continue Reading

Previous: Kreativiti anyaman plastik buka lembaran baharu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.