

BINTULU: Di sebalik warna-warni jalur plastik yang dianyam rapi, terselit kisah dua wanita warga emas yang kini menemui sinar baharu dalam kehidupan melalui perusahaan kraf.
Rahana Tambi dan Zaiton Lugok, masing-masing dalam lingkungan usia 60-an, antara peserta aktif dalam komuniti kraf Kampung Nour Iman, Kuala Tatau yang giat menghasilkan bakul anyaman plastik.
Bagi Rahana, minat yang hadir selepas mencuba menjadi titik perubahan dalam hidupnya.
Walaupun bermula tanpa pengalaman, beliau kini mampu menghasilkan bakul dengan kemasan yang menarik dan teliti.
“Saya tidak tahu pada awalnya, tetapi apabila sudah minat, saya cepat belajar,” katanya, merujuk kepada pengalaman awalnya dalam bidang tersebut.
Zaiton pula melihat aktiviti ini sebagai ruang untuk berkongsi ilmu dan mengisi masa lapang dengan sesuatu yang bermanfaat, di samping menambah pendapatan.
Menurutnya, hasil anyaman mereka bukan sahaja dipasarkan di peringkat tempatan, malah pernah dibawa ke Kuching dan Kuala Lumpur, sekali gus membuka peluang ke pasaran yang lebih luas.
“Bila hasil kita laku dan dibawa ke luar, memang puas hati,” katanya.
Buat masa ini, bakul anyaman plastik yang dihasilkan dijual pada harga antara RM30 hingga RM90, bergantung kepada saiz, corak dan tahap kesukaran anyaman.
Walaupun kelihatan sederhana, produk tersebut mendapat sambutan kerana ketahanan, keunikan serta nilai buatan tangan yang semakin dihargai.
Kisah Rahana dan Zaiton membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk belajar dan berjaya. Dengan kesungguhan dan minat, anyaman plastik kini bukan sekadar hobi, tetapi menjadi sumber rezeki yang membanggakan.
Oleh Carolyne Utih