“Kami menjangkakan menjelang akhir tahun ini, kira-kira 180 pesawat akan beroperasi. Sekarang sebanyak 100 pesawat sudah pun melakukan penerbangan. Di peringkat domestik, ia hampir mencapai 80 peratus manakala peringkat antarabangsa kira-kira 35 peratus. Pihak syarikat sedang melakukan penyelenggaraan terhadap semua pesawat dengan kadar segera. Buat masa ini kapasiti pesawat berada pada 50 peratus daripada 205 pesawat.”
• Tan Sri Tony Fernandes
KUALA LUMPUR: Capital A Bhd menjangkakan semua pesawatnya akan diselenggarakan dan bersedia untuk beroperasi sepenuhnya menjelang Mac 2023, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Tony Fernandes.
Buat masa ini kapasiti pesawat berada pada 50 peratus daripada 205 pesawat, katanya.
“Kami menjangkakan menjelang akhir tahun ini, kira-kira 180 pesawat akan beroperasi. Sekarang sebanyak 100 pesawat sudah pun melakukan penerbangan.
“Di peringkat domestik, ia hampir mencapai 80 peratus manakala peringkat antarabangsa kira-kira 35 peratus. Pihak syarikat sedang melakukan penyelenggaraan terhadap semua pesawat dengan kadar segera,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran airasia Super App untuk menawarkan pekerjaan sepenuh masa kepada penghantar (pekerja ekonomi gig) di Malaysia.
Fernandes berkata syarikat penerbangan itu merekodkan faktor muatan sebanyak 84 peratus pada suku kedua, sama dengan tahap sebelum pandemik, memberi petunjuk bahawa pemulihan perjalanan udara sedang berjalan dengan baik.
Mengenai tambang penerbangan, beliau berkata, tambang adalah lebih tinggi berbanding tahap sebelum pandemik berikutan kenaikan harga minyak.
“Harga minyak naik dua kali ganda. Tetapi saya percaya semua harga (tambang penerbangan) mula turun sedikit. Ya, kami ada surcaj ke atas tambang kami kerana kami mengikut harga minyak. Sebelum ini, harga minyak adalah AS$60 (AS$1=RM4.46), kini ia sekitar AS$120. Sebelum ini, ia pada AS$170,” katanya.
Mengenai gangguan perjalanan udara akibat permintaan yang lebih tinggi, beliau percaya bahawa Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mempunyai rancangan yang diurus dengan baik untuk menangani sebarang isu.
“Bagaimanapun, tiada sebarang isu timbul di lapangan terbang, mungkin kerana beratur panjang dan beberapa perkara lain namun ia tidak seperti di Eropah,” katanya.
Sementara itu, platform perjalanan dan gaya hidup yang paling pesat berkembang di rantau ini, airasia Super App telah menjadi yang pertama di Asia menawarkan penghantar pekerjaan sepenuh masa, ia sebagai sebahagian daripada komitmen syarikat untuk memberikan mereka persekitaran kerja yang lebih baik dan kestabilan pekerjaan serta meningkatkan peluang pendapatan untuk mereka.
Semua penghantar airasia food dan airasia xpress akan diambil bekerja sebagai pekerja sepenuh masa, berkuat kuasa serta-merta, menikmati rangkaian penuh manfaat Allstar termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), perlindungan perubatan yang melindungi pasangan (suami/isteri) dan anak mereka, cuti tahunan, menikmati faedah perjalanan seperti skim Penerbangan AirAsia ID90 dan e-kupon.
Ini adalah tambahan kepada pendapatan terjamin sehingga RM 3,000 sebulan, latihan eksklusif penunggang AirAsia serta perlindungan kemalangan peribadi percuma.
Penunggang juga layak memperoleh insentif tambahan berdasarkan prestasi mereka.
“Kami tidak percaya pada kakitangan kontrak dan kini akan melangkah ke arah menggaji semua penunggang sebagai pekerja sepenuh masa, menerima faedah yang sama yang diterima oleh setiap Allstar, selain daripada faedah terbaik daripada airasia food dan airasia xpress,” katanya. -Bernama