KOTA SAMARAHAN: Semua mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Sri Budaya, Kampung Niup dan Dewan Masyarakat Gedong dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, pagi ini.
Menurut Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, PPS Dewan Sri Budaya, Kampung Niup, yang menempatkan 142 mangsa banjir daripada 39 Ketua Isi Rumah (KIR), serta PPS Dewan Masyarakat Gedong, yang menempatkan 65 mangsa banjir daripada 19 KIR, telah ditutup pada 10 pagi tadi.
Dalam pada itu, seramai 10,082 orang yang melibatkan 2,960 KIR masih berlindung di 45 PPS setakat 12.00 tengah hari ini.
Menurutnya, sebanyak 45 PPS masih beroperasi di 23 daerah yang terjejas manakala 35 PPS telah ditutup, hari ini.
Dalam pada itu, Bintulu masih mencatat jumlah tertinggi, dengan 4,901 orang daripada 1,490 KIR berlindung di lapan PPS.
Sementara itu, Bahagian Miri merekodkan bilangan PPS terbanyak yang masih dibuka, iaitu 13 buah, menempatkan 1,410 orang melibatkan 347 KIR.