
LUNDU: Seminar Kefahaman Undang-Undang Keluarga Islam Sarawak menjadi platform penting dalam meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai hak-hak yang diperuntukkan di bawah syariat Islam, sekali gus mengelakkan kekeliruan berkaitan isu kekeluargaan, perceraian dan pengurusan harta pusaka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, masyarakat khususnya pemimpin akar umbi perlu memahami aspek berkaitan hak selepas perceraian, nafkah, hak penjagaan anak dan pembahagian harta pusaka supaya maklumat yang tepat dapat disampaikan kepada komuniti.
“Adalah penting supaya tiada lagi kekeliruan dalam kalangan masyarakat, terutama mengenai pembahagian harta pusaka dan prosedur tuntutan selepas perceraian.
“Wanita juga perlu menyedari bahawa setiap hak mereka telah digariskan dengan jelas dalam al-Quran dan undang-undang sedia ada. Ilmu ini perlu dikuasai bagi melindungi diri serta keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penangguhan Seminar Kefahaman Undang-Undang Keluarga Islam Sarawak sempena program Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak 1448H/2026M Zon Selatan bertemakan Ummah Maju Makmur di Dewan Mahligai Gading, hari ini.
Seminar anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak dengan kerjasama MIS itu menghimpunkan 179 peserta bagi meningkatkan kefahaman mengenai Undang-Undang Keluarga Islam, hak selepas perceraian, pengurusan harta pusaka orang Islam serta peranan agensi berkaitan dalam penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

Azizul berharap peserta yang mengikuti seminar itu dapat berperanan sebagai ejen penyampai maklumat di kawasan masing-masing bagi memperluaskan kefahaman masyarakat terhadap proses dan perkhidmatan syariah.
Sepanjang seminar berlangsung, peserta mengikuti slot Pembubaran Perkahwinan dan Hak-Hak Selepas Perkahwinan yang disampaikan Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Kuching, Athirah Morni, selain Forum Syariah Perdana mengenai pengurusan harta pusaka orang Islam yang melibatkan panel daripada JKSS, Pejabat Daerah Lundu dan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.
Program itu turut diserikan dengan pameran dan kaunter khidmat nasihat daripada beberapa agensi termasuk JKSS, Jabatan Bantuan Guaman, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Pejabat Daerah Lundu, Tabung Baitulmal Sarawak dan Amanah Saham Bumiputera Nasional.
Pada majlis sama, Azizul turut menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 50 penerima terdiri daripada golongan asnaf, ibu tunggal dan keluarga yang memerlukan dari Zon Sampadi, Lundu dan Sematan.
Turut hadir Ketua Hakim Syarie, Awg Suhaili Ledi dan Pegawai Daerah Lundu, Zulkarnain Ismail.