VALENTINE NGUMBANG
SIMANGGANG: Sembilan gelandangan yang kini menghuni di Pusat Penempatan Sementara Gelandangan (PPSG) di Mini Stadium Sri Aman memanfaatkan sepenuhnya waktu-waktu yang ada sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
PPSG yang dibuka pada 7 April lalu, kini sedang dikawal selia oleh Bahagian Penguatkuasa Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (JKMB) Sri Aman telah mengisi pelbagai aktiviti bagi membolehkan gelandangan melalui hari-hari untuk mengharungi tempoh PKP ini tanpa bosan.
“Bagi mengelakkan individu gelandangan berkenaan berasa sunyi maka pihak kami telah pun bertindak mengadakan lima aktiviti menarik untuk mereka di pusat ini semenjak ia mula dibuka pada 7 April lalu.
“Antara aktiviti tersebut adalah gotong-royong kebersihan, permainan sukan dalaman (Indoor Game) seperti dam dan carom, kelas agama, mewarna dan nyanyian lagu karaoke,” kata jurucakap pusat tersebut.
Selain itu, turut diadakan ialah kelas agama yang dikendalikan oleh Ustaz Aman Abdullah secara sukarela dengan aktiviti gotong-royong itu pula hanya diadakan dalam pusat ini bagi membersihkan tempat tinggal para gelandangan tersebut, tambah jurucakap di pusat berkenaan.
Jurucakap berkenaan turut memberitahu para individu gelandangan di dalam PPSG berkenaan dilihat amat teruja menyertai kesemua aktiviti tersebut tanpa menimbulkan masalah terhadap pengendalinya sehingga sekarang.
“Justeru pihak kami akan terus mengendalikan pusat ini dengan sebaik mungkin demi mewujudkan keselesaan dalam kalangan penghuni dan seterusnya membantu mengekang penularan pandemik Covid-19 di kawasan ini kelak,”kata jurucakap itu.
Terdahulu PPSG ini sedang dikawal selia oleh Bahagian Penguatkuasa Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (JKMB) Sri Aman dengan kesemua gelandangan tersebut diberi makanan sebanyak tiga kali sehari dengan ‘hygiene set’ dan tilam.
Pusat ini diketuai oleh Mohamad Nazri Mohamad Sharkawi dan Denny Sukon dari Bahagian Penguatkuasa JKMB Sri Aman sambil dibantu oleh pekerja sukarela kebajikan, tiga anggota APM dan tiga anggota RELA yang bertugas secara bergilir-gilir di situ.