MARUDI : Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bertemakan “Malaysia Prihatin” bertepatan dengan aspirasi kerajaan bahawa seluruh rakyat turut berganding bahu memerangi musuh iaitu wabak Covid-19.
Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil berkata Prihatin menunjukkan inisiatif kerajaan yang merangkumi aspek ekonomi, kebajikan dan kelangsungan rakyat Malaysia.
Katanya semangat Malaysia Prihatin ini dizahirkan bukan sahaja oleh mereka yang bertugas di barisan hadapan, malah rakyat pelbagai lapisan masyarakat yang merupakan wira tidak didendang.
“Mereka tampil untuk memberikan bantuan dan sokongan tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik,” katanya.
Ujar Penguang, ini petanda baik yang membuktikan rakyat Malaysia boleh bersatu sama ada di waktu susah apatah lagi dalam waktu senang.
Tegasnya semangat Malaysia Prihatin ini juga perlu di semarakkan lagi di segenap kehidupan masyarakat bukan sahaja dalam usaha untuk menamatkan terus wabak Covid-19 malah dalam usaha memulihkan semula ekonomi dan kehidupan rakyat ke arah yang lebih baik.
“Malaysia Prihatin perlu kita sematkan dalam ingatan untuk kita mengukuhkan kembali asas-asas perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya.
Penguang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Marudi mengajak rakyat Malaysia untuk terus menyemarakkan keharmonian yang dikecapi selama ini demi negara yang tercinta dan sekali gus memartabat agenda untuk membina negara.
“ Kita ingin melihat semangat patriotisme ini sentiasa mekar dalam hati kita di mana setiap tahun semangat ini akan kita perkukuhkan lagi,” katanya berucap merasmikan program Merdeka @ Komuniti Peringkat Daerah Beluru dilangsungkan di |Dewan Masyarakat Beluru semalam.
Dalam pada itu bersempena dengan sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia, Penguang turut mengadakan taklimat pembangunan kepada ketua masyarakat dan ketua kaum iaitu pengenalan kepada bab buku adat serta perkahwinan dan perceraian mengikut adat majlis adat istiadat.
Tegasnya Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) telah berjaya memulihara pelbagai adat kaum pribumi di Sarawask termasuk adat Iban, Bidayuh, Kayan-Kenyah, Lun Bawang, Bisaya, Kelabit dan Penan.
Bagi Penguang, amalan atau adat seperti ini perlu diketengahkan kepada kalangan belia terutama golongan muda supaya ia kekal sebagai suatu tradisi yang baik dalam kalangan generasi muda dalam masyarakat pelbagai kaum.
“Sebagai rakyat jati Sarawak, kita tentu berasa bangga untuk memelihara adat kita kerana ia melambangkan adat budaya yang telah kita amalkan sejak dari dulu lagi,” tambah Penguang.
Turut hadir Pegawai Daerah Beluru Alfred Geling Ason, Pegawai Penerangan Daerah Marudi, Zaini Morshidi dan Ketua-Ketua Kaum daerah Beluru.
Oleh Jiku Juguong