SARIKEI: Semangat menghormati warga emas serta memperkukuh hubungan kekeluargaan antara generasi perlu terus dipelihara sebagai asas memastikan warisan dan nilai murni sesebuah komuniti tidak terhakis ditelan zaman.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, hubungan erat antara generasi menjadi kekuatan penting kepada Persatuan Klan Yeong Sarawak dalam memastikan warisan dan semangat kekeluargaan terus diwarisi.
“Pada majlis ini, kita bukan sahaja meraikan perayaan tradisi yang melambangkan ‘bulan purnama, keluarga bersatu’, tetapi turut berhimpun untuk menyampaikan penghargaan dan ucapan yang paling tulus kepada warga emas dalam persatuan yang telah bekerja keras sepanjang kehidupan mereka dan amat kita hormati.
“Makna Perayaan Kuih Bulan bagi Klan Yeong yang merupakan antara kelompok kecil dalam kalangan nama keluarga adalah penting untuk menyatukan kekuatan.
“Ia bukan sekadar mengenai kesempurnaan bulan purnama di langit, tetapi lebih penting ialah penyatuan keluarga dan perpaduan seluruh anggota klan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh wakilnya, Penghulu Huang Tiong Kang sempena Majlis Sambutan Perayaan Kuih Bulan dan Menghormati Warga Emas anjuran Persatuan Klan Yeong Sarawak, baru-baru ini.
Katanya, kehadiran anggota keluarga daripada generasi terdahulu hingga generasi cucu menggambarkan kesinambungan sebuah komuniti yang mempunyai akar sejarah dan kekeluargaan yang kukuh.
“Pada malam ini, anggota Klan Yeong yang hadir, daripada generasi datuk dan nenek hingga cucu, berkumpul bersama ibarat sebatang pokok yang rimbun.
“Usaha berterusan generasi terdahulu yang diwariskan dari satu generasi ke generasi seterusnya telah membolehkan Persatuan Klan Yeong berkembang sehingga hari ini serta melahirkan ramai individu berbakat.
“Semangat kebersamaan yang diwarisi inilah aset paling berharga persatuan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas pendekatan kerajaan Sarawak dalam memelihara kepelbagaian budaya dan keharmonian masyarakat.
“Di bawah kepimpinan Premier Sarawak, kerajaan Sarawak bukan sahaja memberi sokongan penuh terhadap pewarisan budaya pelbagai kaum dan pertubuhan berasaskan klan, malah menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), turut memberikan bantuan secara aktif kepada kumpulan agama yang berbeza.
“Institusi keagamaan di Sarikei juga menerima manfaat daripada dasar ini. Pendekatan pentadbiran yang menggalakkan kepelbagaian, keterangkuman dan keharmonian merupakan jaminan kukuh kepada kemakmuran dan pembangunan Sarawak,” katanya lagi.
Beliau turut memberikan penghormatan kepada golongan warga emas yang disifatkannya sebagai generasi yang telah banyak berkorban dan menyumbang kepada kestabilan serta kemajuan masyarakat hari ini.
“Sebagai wakil rakyat Sarikei, saya sentiasa berharap agar setiap warga emas dapat menjalani kehidupan dengan tenang dalam komuniti yang mereka kenali serta menikmati kesihatan dan umur yang panjang,” tambahnya.
Sebagai sokongan terhadap usaha persatuan meneruskan kegiatan kebudayaan, kekeluargaan dan penghormatan kepada generasi terdahulu, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada Persatuan Klan Yeong Sarawak.
“Saya berharap sumbangan kecil ini dapat memperkukuh lagi semangat kebersamaan Persatuan Klan Yeong serta memastikan semangat menghormati warga emas dan mewarisi tradisi terus dikembangkan,” katanya.
Oleh Earl Anek




