Gambar janaan AI semata-mata
KUALA LUMPUR: Peningkatan bilangan rakyat Malaysia berusia yang kekal dalam tenaga kerja menunjukkan jurang dalam persediaan persaraan, sekali gus mendorong tumpuan terhadap keperluan untuk memperkukuh sistem sokongan dalam masyarakat menua.
Di seluruh negara, semakin ramai individu berusia 60 tahun ke atas kekal aktif secara ekonomi, dengan ada yang memilih untuk terus terlibat dalam bidang pekerjaan manakala ramai kekal bekerja disebabkan faktor kewangan.
Trend ini mencerminkan perubahan landskap apabila persaraan bukan lagi penamat yang tetap tetapi fasa yang semakin tidak menentu disebabkan peluang dan kekangan.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Kelantan, Profesor Datuk Dr Nik Maheran Nik Muhammad, berkata simpanan yang tidak mencukupi kekal sebagai faktor utama, khususnya dalam kalangan mereka yang menghabiskan kerjaya dalam sektor tidak formal.
“Kebanyakan golongan berusia di Malaysia terus bekerja kerana memerlukan pendapatan, bukan sekadar kerana ingin kekal aktif. Jadi, walaupun penuaan aktif kedengaran positif namun bagi kebanyakan orang, terus bekerja sebenarnya satu keperluan, bukan pilihan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), negara ini sudah beralih kepada masyarakat menua dengan mereka yang berusia 60 tahun ke atas dijangka membentuk kira-kira 15 peratus daripada populasi menjelang 2030.
Setakat 30 September 2025, seramai 310,100 penyumbang warga emas masih aktif mencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri menunjukkan peningkatan penyertaan individu lebih tua dalam tenaga kerja.
Penyertaan berterusan rakyat Malaysia berusia dalam tenaga kerja bukan sahaja menunjukkan nilai pengalaman mereka yang kekal diperlukan tetapi juga menekankan keperluan untuk sokongan persaraan yang lebih kukuh.
Nik Maheran berkata, jurang dalam persiapan persaraan termasuk simpanan yang tidak mencukupi di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tahap pendapatan tidak sekata dalam kalangan pesara dan perlindungan terhad bagi mereka dalam pekerjaan tidak formal.
“Simpanan persaraan juga masih tidak mencukupi bagi kebanyakan individu dan banyak tempat kerja belum direka bentuk untuk pekerja lebih tua,” katanya dan menambah pengaturan kerja yang lebih fleksibel dan reka bentuk pekerjaan mesra usia boleh menyokong segmen itu dengan lebih baik.
Sementara itu, Pengarah Program Ekonomi, Perdagangan dan Integrasi Serantau Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Calvin Cheng, berkata peningkatan silver workforce juga turut dipengaruhi oleh perubahan struktur yang lebih luas dalam pasaran buruh.
Beliau berkata, banyak pekerja berusia hari ini berkongsi persamaan dengan pekerja ekonomi gig terutama dari segi fleksibiliti pendapatan dan juga terdedah kepada perlindungan yang lebih lemah.
“Kebanyakan pekerja yang berusia ini berakhir dalam pekerjaan gig atau pekerjaan tidak formal yang tidak menentu dan berkemungkinan ramai pekerja yang lebih tua didorong oleh keperluan hari ini juga ialah mereka yang pernah menjadi pekerja gig atau tidak formal.
“Logik struktur yang sama ini menjelaskan mengapa penggajian yang stabil dan berkualiti berkurangan dan mengapa mengekalkan taraf hidup yang baik untuk persaraan dirasakan semakin sukar dicapai bagi banyak pekerja,” katanya.
Mengenai kerangka sedia ada, Cheng berkata sistem perlindungan sosial Malaysia termasuk skim KWSP, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Sistem Insurans Pekerjaan agak maju mengikut standard serantau.
Bagaimanapun, beliau berkata masih terdapat jurang dari segi liputan dan kecukupan, khususnya kerana perlindungan sebahagian besarnya berkait dengan pekerjaan formal.
“Hampir separuh daripada tenaga kerja Malaysia tidak dilindungi secara bermakna oleh mana-mana sistem persaraan formal,” katanya.
Melihat ke hadapan, Cheng berkata demografi penuaan tidak dapat dielakkan tetapi ia juga memberikan peluang untuk menyokong dan memanfaatkan sumbangan pekerja berusia dengan lebih baik.
“Pasaran buruh masa depan akan menjadi yang lebih berusia. Jika ia berterusan tanpa kawalan, masa depan mungkin menyaksikan jurang lebih besar antara pekerja yang dilindungi dengan baik dan mereka yang berada dalam pekerjaan tidak formal,” katanya.
Beliau berkata, memperkukuh jaminan persaraan dan keterangkuman tempat kerja ialah kunci untuk memastikan warga emas Malaysia dapat terus menyumbang secara bermakna di samping mempunyai pilihan untuk bersara dengan bermaruah. – BERNAMA