KUCHING: Sektor pelancongan pada masa ini sudah sedikit-sebanyak meningkat balik, kata Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah
Beliau berkata, dalam tempoh tiga dan empat bulan yang lepas, hotel lebih kurang kosong dan memang tidak ada pelanggan.
“Selain daripada itu, banyak tempat hiburan seperti tempat berehat, kelab malam, pusat urut dan kedai kopi tidak boleh dibuka,” katanya ketika ditanya pemberita pada majlis perasmian Beccari Discovery Trail sempena Sarawak’s Own Beccari Celebration 2020-2021 di Jalan Tuanku Yassin 1, Kampung Matang Batu 10, di sini, semalam.
Katanya, sekarang ia sudah boleh dibuka selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan pengunjung terutama pengunjung tempatan sama ada daripada Sarawak yang datang dari Sibu, Miri, Bintulu datang ke Kuching.
“Kita dapat melihat juga pengunjung dari Semenanjung Malaysia meningkat tetapi yang datang daripada luar negara belum digalakkan dan mereka yang datang dari luar negara ramai yang menetap di Kuala Lumpur kerana bekerja dalam sektor swasta atau pun dalam agensi diplomatik,” katanya.
Oleh itu, beliau berharap kes Covid-19 ini menurun supaya ramai lagi pengunjung daripada luar negara, Singapura, Semenanjung Malaysia dan Sabah dapat masuk ke Sarawak.
Sementara itu, beliau berkata, peningkatan sektor pelancongan pada masa ini lebih kurang 50 hingga 60 peratus.
“Kalau kita lihat pada bulan Mei hingga Jun dahulu hampir kosong iaitu kurang daripada 10 peratus.
“Dibandingkan dengan kehadiran pengunjung daripada luar, pada tahun lepas iaitu bulan yang sama, apa yang ada pada masa ini adalah lebih kurang 50 peratus daripada tahun lepas,” jelasnya.
Menurutnya, apabila sektor pelancongan dibuka semula, beliau percaya pada bulan September, senarai yang masuk akan seperti biasa dan jumlah pengunjung akan meningkat.