KUCHING: Sekolah Antarabangsa Islam pertama di Sarawak yang dijangka siap pada akhir 2027 akan menyediakan peluang kepada pelajar cemerlang dalam aliran agama Islam untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sekolah menengah.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, walaupun sekolah tersebut bertaraf antarabangsa dan menarik pelajar dari negara dengan populasi Islam minoriti, peluang tetap akan diberikan kepada pelajar tempatan yang cemerlang untuk melanjutkan pelajaran di sekolah itu nanti.
“Kokurikulum yang berlandaskan silibus antarabangsa Cambridge dan Madrasah Aljunied Al-Islamiah Singapura bakal mempermudahkan pilihan anak-anak kita yang telah tamat sekolah menengah untuk mencari hala tuju untuk menyambung pelajaran di peringkat universiti.
“Jadi, peluang untuk mereka belajar di luar negara adalah mudah kerana silibus yang diajarkan di Sekolah Antarabangsa Islam di sini telah diiktiraf di peringkat antrabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penangguhan Program Jogaton Sekolah Rendah Islam Al Amin Kuching 2 di sini, hari ini.
Abdul Rahman berkata, kerajaan Sarawak pada masa kini memberi fokus pembelajaran mengenai aero angkasa di peringkat institusi pendidikan tinggi.
“Salah satu silibus pendidikan tinggi yang ditekankan oleh kerajaan negeri ialah berkenaan dengan aero angkasa.
“Minat kepada bidang ini harus dipupuk dalam kalangan anak-anak kita agar mereka menjadi pakar dalam bidang ini kerana kita mampu menyediakan silibus berkenaan di sini dalam tempoh dua hingga tiga tahun nanti tanpa perlu pergi ke tempat yang jauh.
“Ini merupakan salah satu hala tuju untuk kita terapkan kepada anak-anak kita di samping memberi penekanan ilmu agama Islam. Dengan kata lain apabila mereka dewasa, ilmu yang mereka ada akan seimbang iaitu ilmu dunia dan ilmu akhirat,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Rahman turut meminta ibu bapa agar memberikan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak mereka bagi melahirkan generasi muda yang berdisiplin dan bertanggungjawab pada masa akan datang.
Oleh Mohd Neenatul Aizal
Gambar
KENANGAN… Datuk Dr. Abdul Rahman bersama para pelajar selesai Program Jogaton Sekolah Rendah Islam Al Amin Kuching 2, hari ini.