KUCHING: Seramai lebih kurang 90,000 penduduk di negeri ini masih belum mendaftar bagi Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), kata Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Timbalan Premier Sarawak itu berkata beberapa siri acara akan dianjurkan bersama dengan agensi berkaitan bagi membantu penerima yang layak untuk mendaftar.
“Oleh kerana permohonan ini dibuka sepanjang tahun, maka mereka yang layak tidak perlu tergesa-gesa untuk mendaftar.
“Bagaimanapun, kita berhasrat untuk membimbing mereka dan menggalakkan mereka untuk menuntut bantuan yang disediakan bagi golongan yang layak.
“Justeru, Pejabat Residen bersama pasukan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan SPay Global akan mengadakan beberapa siri program bagi membantu mereka menfmdaftar Sarawak ID dan Spay,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis apresiasi Persatuan-Persatuan Cina Bersekutu Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian bersama media, di sini, hari ini.
Sementara itu, ketika berucap pada majlis, Sim memuji inisiatif persatuan tersebut yang sentiasa memberikan penghargaan kepada pihak media.
“Kerjasama antara Persatuan-Persatuan Cina Bersekutu Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian dan media memainkan peranan besar dalam pembangunan negeri ini.
“Saya berharap Persatuan-Persatuan Cina Bersekutu Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian akan meneruskan tradisi ini sebagai penghargaan dan sokongan kepada pihak media,” ujarnya.
Turut hadir ialah Presiden Persatuan-Persatuan Cina Bersekutu Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, Dato Richard Wee.
Untuk rekod, kerajaan turut membuka kaunter khidmat pelanggan sementara dengan kerjasama Pejabat Residen dan Pejabat Daerah bagi memudahkan permohonan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS).
Program ini akan dilaksanakan secara berfasa di seluruh negeri, bermula hari ini, manakala tarikh pelaksanaan penuh akan diumumkan kelak.
Oleh Rynna Sha’erra