GUNA DENGAN BAIK… Datuk Dr. Malcom Mussen Lamoh menyampaikan geran kepada penerima dalam Majlis Perasmian Jum Regista Bisnes Sarawakku Sayang (REGISTA) di Dewan IAT, Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Samarahan. • Foto HERRIEY NAHA
SAMARAHAN: Kira-kira 3,345 usahawan Sarawak telah menerima manfaat subsidi kadar faedah dengan RM77 juta diperuntukkan bagi bantuan subsidi tersebut setakat ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri, dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcom Musseh Lamoh berkata, mereka yang layak adalah melalui skim Special Relief Fund (SRF), Targeted Relief and Recovery Fund (TRRF) dan PENJANA Tourism Facility (PTF).
“Kerajaan Sarawak adalah satu-satunya kerajaan di Malaysia yang telah menawarkan subsidi kadar faedah ini untuk rakyatnya.
“…Dan melalui Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 2.0, Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM80.7 juta untuk bantuan subsidi kadar faedah selama 3 tahun setengah kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini,”katanya ketika membaca teks ucapan mewakili Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan merasmikan Program Jum Regista Samarahan, pada Rabu.
Tambahnya, Kerajaan Sarawak telah membangunkan Kota Samarahan Industrial Estate dan Kota Samarahan Industrial Estate Extension di Samarahan yang terdiri daripada industri am.
“Kementerian kami juga telah bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Kota Samarahan untuk menyediakan sebanyak 2 buah kubah pengering solar kepada usahawan produk berasaskan ikan.
“Saya berharap dengan adanya kemudahan ini, PKS tempatan akan terus komited untuk memajukan perniagaan mereka,”jelasnya ketika membaca teks ucapan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.
Untuk rekod, pada tahun ini, program REGISTA telah diadakan di Bintulu, Serian dan Sibu. Seramai 486 usahawan telah didaftarkan di tiga lokasi ini dan setakat ini, lebih 1,600 usahawan telah dibantu dan berjaya mendaftarkan perniagaan mereka melalui program Jum REGISTA.
Dalam majlis yang sama beliau telah menyempurnakan majlis simbolik penyerahan replika cek bantuan dana kepada yang layak seperti Program Bantuan Graduan Ke Arah Keusahawanan (GERAK), Program Bantuan Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV), dan Peruntukan Dana Pembiayaan Skim Kredit Mikro Sarawak (kolaborasi AgroBank dengan MINTRED).
Oleh AZREEN KERIA