SIMANGGANG: Kira-kira 200 penduduk dari lima kampung dalam kawasan Ladong telah menjayakan Majlis Tahlil Perdana dan Zikir Marhaban Pra Ramadan yang diadakan di Surau Kebahagiaan Kampung Hilir Simanggang, malam tadi.
Penasihat Surau Kebahagiaan, Pemanca Abang Norin Abang Norudin berkata, lima kampung terlibat ialah Kampung Masjid Baru, Kampung Datuk, Kampung Haji Undom, Kampung Tanjung Engkabang, dan Kampung Sembau.
“Majlis Tahlil Perdana dan Zikir Marhaban yang telah dianjurkan malam ini (tadi) diadakan secara sederhana tetapi dalam suasana meriah.
“Ia diadakan bersempena menyambut kedatangan bulan Ramadan yang bakal disambut oleh umat Islam beberapa hari lagi,” katanya.
Abang Norin berkata, majlis yang menghimpunkan penduduk dari lima kampung itu dalam satu ikatan ukhuwah, serta memperingati insan-insan yang telah kembali ke rahmatullah dengan penuh keinsafan dan ketulusan doa.
“Saya bagi pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, barisan jawatankuasa, semua penyumbang terutamanya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor, Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli serta seluruh jemaah, dan penduduk yang hadir atas sokongan dan komitmen yang diberikan.
“Untuk makluman, pihak jawatankuasa penganjur telah berjaya mengumpul sumbangan orang ramai berjumlah RM10,430 bagi menjayakan majlis ini.
“Semoga amal soleh dan sumbangan yang disumbangkan ini diterima Allah SWT dan menjadi ladang pahala buat kita semua,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Norin menjelaskan pada majlis itu juga turut diadakan penangguhan kelas al-Quran Pra Ramadan yang disertai 30 lelaki serta wanita yang telah bermula sejak sebulan yang lalu.
Teedahulu, majlis yang dimulakan dengan solat fardhu Maghrib seterusnya bacaan Surah Yassin, dan diikuti dengan Tahlil Perdana sempena Ramadan, dan majlis kemudiannya diteruskan dengan solat fardhu Isyak.
Oleh Adi Safarman