KUCHING: Sebuah sekolah di Simunjan akan menikmati nikmat ledakan teknologi digital dengan penyediaan bilik darjah digital dan sambungan internet menjelang akhir tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Demanlink Connexion Sdn Bhd (Demanlink), Hanad Yusuf berkata inisiatif berkenaan merupakan kerjasama bersepadu syarikat itu dengan Edgepoint.
”Sebelum ini, kita turut menyediakan bilik darjah digital, lengkap dengan akses internet dan peranti digital di sebuah sekolah di Miri bagi memberi manfaat kepada pelajar dan masyarakat sekitar dengan menyediakan akses perhubungan di kawasan sekitar.
”Projek ‘Connectivity for Communities’ ini adalah sebahagian daripada komitmen kami untuk membawa ketersambungan ke kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan.
”Sekolah kedua di Simunjan akan dilengkapi dengan bilik darjah digital dan ketersambungan menjelang akhir tahun ini, dan kami akan terus mengembangkan projek ini ke seluruh negeri pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis pelancaran rasmi Demanlink Connexion Sdn Bhd bertempat di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
Majlis pelancaran itu turut dihadiri oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Pada majlis sama, Abang Johari turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Demanlink yang diwakili Hanad dan Integrated Access Communication Sdn Bhd (IAC) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif IAC Mustapha Mustajir.
Menjelas lanjut, Hanad berkata pihaknya menyasarkan untuk menyediakan infrastruktur digital yang boleh dipercayai dan berskala yang menghubungkan komuniti, memperkasakan perniagaan dan menyokong pertumbuhan ekonomi.
”Kami tidak sabar untuk memainkan peranan dalam mencapai matlamat kerajaan untuk 7,000 menara menjelang 2030.
”Kemajuan ketara telah dicapai dengan kira-kira 4,500 menara dilaporkan pada Mei tahun ini, dan kami percaya kami adalah pemain yang tepat untuk membantu merapatkan jurang 2,500 menara di Sarawak.
”Kami amat percaya bahawa akses kepada infrastruktur digital berkualiti tinggi akan menjadi pemboleh utama bagi mana-mana ekonomi maju moden yang berhasrat untuk mencapai status berpendapatan tinggi dan kami komited untuk memainkan peranan kami dalam memenuhi matlamat digital Sarawak,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan harapan untuk bekerjasama dengan pelabur mereka, EdgePoint Infrastructure dan memanfaatkan kepakaran serantau mereka.
Hadir sama ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak Berhad (SDEC), Tan Sri Mohamad Morshidi Ghani; Pelabur Demanlink, Azfar Zubri Safri; Ketua Pegawai Eksekutif EdgePoint Infrastructure Sdn Bhd, Suresh Sidhu dan Ketua Pegawai Eksekutif EdgePoint Towers Sdn Bhd Muniff Kamaruddin.
Oleh RYNNA SHA’ERRA