

KUCHING: Sebuah rumah musnah hampir 100 peratus dalam kejadian kebakaran di Kampung Buntal Ulu tengah hari tadi, manakala sebuah lagi rumah turut mengalami kerosakan akibat bahang api.
Kejadian dilaporkan berlaku pada 12.53 tengah hari tadi di Kampung Buntal Ulu, membabitkan sebuah rumah yang terbakar hampir sepenuhnya dengan keluasan dianggarkan 20 x 20 kaki persegi.
Api bagaimanapun berjaya dipadamkan lebih awal oleh penduduk kampung sebelum ketibaan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak yang tiba di lokasi pada 1.16 petang.
Setibanya di lokasi, pasukan mendapati kebakaran telah berjaya dikawal, namun kerja-kerja ‘overhaul’ tetap dijalankan menggunakan satu aliran salur bantu mula (SBM) bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
Dalam kejadian itu, sebuah rumah berhampiran turut terjejas sekitar 20 peratus akibat bahangan kebakaran.
Kesemua penghuni kedua-dua rumah dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan.
Operasi terkawal pada 1.30 petang sebelum ditamatkan sepenuhnya pada 1.37 petang selepas keadaan disahkan selamat.
Seramai 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya, Tabuan Jaya dan Padungan terlibat dalam operasi berkenaan dengan kekuatan jentera melibatkan dua FRT, satu CFRT, satu EMRS dan satu Hilux.
Turut membantu di lokasi ialah Polis Diraja Malaysia, Sarawak Energy Berhad serta PBS Buntal dalam usaha mengawal keadaan dan keselamatan kawasan.
Komander Operasi diketuai oleh Syed Mohd Azreen Wan Halami, manakala pemantauan dilakukan oleh Mohammad Raffy Saibi.
Punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.