PUTRAJAYA: Sebanyak 82,092 calon ditawarkan tempat pengajian bagi peringkat ijazah sarjana muda di 20 universiti awam tahun ini, menurut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Dalam kenyataan hari ini, KPT menjelaskan jumlah itu merupakan 76.10 peratus daripada 107,875 permohonan menerusi UPUOnline yang layak untuk melanjutkan pengajian ke universiti awam bagi peringkat ijazah sarjana muda.
Secara keseluruhan, sebanyak 1,146 program pengajian ijazah sarjana muda ditawarkan bagi sesi kali ini.
Menurut KPT kemasukan pelajar ke institusi itu dibuat berdasarkan prinsip meritokrasi dengan menyusun semua calon yang layak mengikut markah merit tertinggi hingga terendah.
“Pihak kementerian mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon yang berjaya dan semoga peluang menyambung pengajian pada peringkat pendidikan tinggi digunakan sebaiknya,” menurut KPT.
Bagi calon yang tidak mendapat tawaran tempat pengajian, KPT membuka saluran peluang kedua melalui proses rayuan menerusi UPUOnline dalam tempoh 10 hari, bermula 14 Ogos 2026, 12.00 tengah hari hingga 23 Ogos 2026, 5.00 petang.- Bernama





