
KUCHING: Pelancaran Rangka Kerja Tadbir Urus Data Sarawak (SDGF) menjadi satu langkah penting dalam memperkukuh tadbir urus data negeri sebagai asas kepada pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang selamat dan diyakini.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee berkata, kepimpinan kerajaan negeri di bawah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, sentiasa menekankan kepentingan tadbir urus data yang kukuh bagi membolehkan teknologi AI dimanfaatkan sepenuhnya dalam mempercepat transformasi digital perkhidmatan awam.
Menurut beliau, tanpa sistem tadbir urus data yang mantap, teknologi AI tidak mampu memberikan nilai serta manfaat optimum kepada kerajaan dan rakyat.

“Pelancaran SDGF hari ini merupakan persediaan penting Sarawak ke arah pembangunan AI yang dipercayai kerana tanpa tadbir urus data yang kukuh, AI tidak dapat memberikan manfaat sepenuhnya,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran SDGF 2026 yang disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki di sini, hari ini.
Hii yang juga Ketua Pegawai Digital Kerajaan Sarawak berkata, pembangunan SDGF berjaya direalisasikan hasil kerjasama erat antara Unit Pendigitalan Perkhidmatan Awam Sarawak, Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak, Pusat Kecerdasan Buatan Sarawak dan Sistem Maklumat Sarawak Sdn. Bhd.
Beliau berkata, kerjasama itu membolehkan ekosistem tadbir urus data yang lebih menyeluruh dibangunkan bagi menyokong pelaksanaan AI dalam pelbagai sektor.
Menurutnya, semua inisiatif yang diperkenalkan kerajaan Sarawak bersama agensi berkaitan mencerminkan komitmen berterusan untuk memperkukuh keupayaan Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS) supaya terus berdaya saing, berdaya tahan dan bersedia menghadapi era digital.