KUCHING: Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) telah bersetuju secara bersama dengan pelanggan serta subkontraktor berkaitan bagi menamatkan kontrak enam projek di Oman dan Qatar.
Syarikat kepakaran kejuruteraan awam itu dalam kenyataannya berkata perjanjian bersama penamatan kontrak dibuat selepas mengambil kira beberapa cabaran dalam Covid-19 yang telah mengekang ketersediaan tenaga kerja selain daripada masalah halangan perjalanan sehingga menjejaskan pengurusan projek.
“Penamatan kontrak ini dibuat selepas mengambil kira terma-terma mengenai penyelesaian penuh dan muktamad hutang serta penubuhan jadual berkenaan jumlah terhutang antara kedua-dua pihak kepada kontrak.
“Ia melibatkan semua pihak yang mengakui hutang yang terhutang sebagai muktamad termasuk penyelesaian hutang-hutang berkaitan sesama mereka,” kata SCIB.
Projek-projek yang terjejas akibat penamatan itu adalah enam vila di Qatar, yang pertama kali diumumkan pada Oktober 2019, sembilan vila di Oman, diumumkan pada Oktober 2019, 18 bangunan lima tingkat di Qatar, diumumkan pada April 2020, dua pusat perkhidmatan di Qatar, diumumkan pada April 2020, kerja-kerja sivil untuk projek air pencegah kebakaran di Qatar, yang diumumkan semasa Disember 2020 dan 20 vila di Oman, yang diumumkan pada April 2020.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SCIB, Rosland Othman berkata, keputusan mengenai penamatan itu dibuat selepas perbincangan dan kajian daya maju komersial projek-projek berkenan susulan situasi Covid-19 yang menyukarkan jadual perjalanan projek.
“Kami juga menghadapi masalah mendapatkan pembiayaan bagi projek-projek ini memandangkan keadaan pasaran semasa.
“Walaupun akan ada beberapa kesan, keputusan yang diambil untuk menamatkan kontrak adalah demi kepentingan jangka panjang syarikat serta pemegang sahamnya, penamatan kontrak datang dengan penyelesaian akhir dan tiada lagi penalti atau ganti rugi punitif yang dikenakan ke atas SCIB daripada pelanggan serta subkontraktor,” katanya.
Rosland berkata projek SCIB lain akan diteruskan seperti yang dijadualkan dan syarikat itu sedang mencari peluang di Malaysia termasuk ASEAN, yang mana ia akan memberi tumpuan kepada keperluan infrastruktur asas awam.
Ini juga memberikan kelebihan tambahan dalam kawalan kos dan tenaga kerja yang lebih murah manakala syarikat boleh memanfaatkan kekuatannya sebagai pengeluar konkrit pratuang serta Sistem Binaan Berindustri (IBS) terbesar di Malaysia Timur.
“Penawaran IBS dan penggunaan teknologi 3D akan memberi kami kelebihan daya saing, kerana projek akan menjadi lebih cekap dan boleh disiapkan dalam tempoh yang lebih pendek dengan bahan binaan berkualiti.
“Kami akan terus menangani cabaran landskap operasi yang tidak menentu dengan memastikan kos diuruskan dengan baik selain daripada mengambil langkah berhemat bagi memastikan kesinambungan perniagaan dan kemampanan,” katanya.