
SIBU: Persatuan Ahli Perniagaan Wanita Sibu (SBA) akan terus berfungsi sebagai jambatan dan platform menghimpunkan lebih ramai wanita yang cemerlang, membuka potensi perniagaan dan menerima cabaran untuk melakar kejayaan baharu.
Bekas Presiden SBA, Dato Betty Wong berkata, selepas pelbagai cabaran dan usaha bersama, hari ini SBA telah berkembang menjadi sebuah organisasi perniagaan wanita yang sangat berpengaruh di Sibu.
Katanya, sepanjang dua dekad yang lalu, SBA bukan sahaja menyediakan platform untuk ahlinya belajar dan berkembang, tetapi juga secara aktif mencari peluang pembangunan yang lebih besar untuk usahawan wanita.
“Kami telah menganjurkan pelbagai sesi latihan, seminar, dan pertukaran dengan usahawan wanita di Semenanjung Malaysia dan luar negara.
“Pada masa yang sama, kami telah terlibat secara aktif dalam inisiatif kebajikan sosial, memberi kembali kepada masyarakat dengan penuh perhatian dan dedikasi, mempamerkan daya tahan dan kekuatan wanita dalam perniagaan.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada anda semua yang telah menyokong dan mengiringi pertumbuhan persatuan. Tanpa kepercayaan dan sumbangan anda, kami tidak akan mencapai kejayaan hari ini,” katanya sambil mengucapkan tahniah kepada Presiden SBA yang baharu, Patricia Ting.
Beliau berkata demikian padam makan malam Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-20 SBA di salah sebuah hotel terkemuka, di sini malam tadi.
Sementara itu, Ting menyeru semua ahli SBA untuk kekal teguh dalam misi persatuan itu bagi menyokong dan memperkasakan komuniti perniagaan di Sibu.
“Marilah kita terus memupuk perpaduan, menerima inovasi, dan menyokong pertumbuhan mampan yang memberi manfaat bukan sahaja kepada ahli, tetapi komuniti yang lebih luas,” katanya.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua ahli persatuan, rakan kongsi dan penyokong untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan yang luar biasa ini.
“Bersama-sama, kita ada mencipta warisan kecemerlangan dan perkhidmatan, dan bersama-sama, kami akan memastikan usahawan wanita Sibu sebagai sebuah persatuan terus berkembang maju untuk tahun-tahun mendatang,” tegasnya.
Pada majlis tersebut, turut menyaksikan Ahli Lembaga Pengarah SBA yang baharu diketuai oleh Ting mengangkat sumpah memangku jawatan.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh.
Turut hadir, isteri Wong, Datin Sri Pauline Leong, Presiden SBA Patricia Ting, bekas presiden SBA Dato Betty Wong, Wong Hie Ping, Priscilla Lau, Jamie Tiew, Joan Ngu serta pengerusi penganjur, Stella Hii.
Oleh Akun Giman